Polis Sabah luluskan 369 permit kempen PRU15

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 369 permit kempen telah diluluskan Polis Sabah sepanjang tiga hari pertama kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 178 permit kempen diluluskan semalam, dan hasil pemeriksaan pihak polis mendapati semua kempen dijalankan mempunyai permit serta mematuhi syarat kempen ditetapkan.

"Bagi tempoh antara 26 Oktober hingga 7 November sebanyak 39 laporan polis (berkaitan PRU15) telah diterima dengan satu laporan polis diterima dalam tempoh 24 jam (semalam).

"Sebanyak enam kertas siasatan telah dibuka dan siasatan sedang dijalankan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Idris menyeru kepada semua parti politik supaya memohon kelulusan permit kempen sebelum memulakan kempen atau ceramah; mematuhi syarat kempen termasuk tiada unsur provokasi, fitnah dan perkauman; memastikan penyokong menjaga tingkah laku; dan mematuhi peraturan lalu lintas.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 5 November sebagai hari penamaan calon PRU15 dan 15 November untuk pengundian awal, serta 19 November sebagai tarikh mengundi. - Bernama

Artikel Berkaitan: