Muda tumpu rombak sistem pendidikan 'dua darjat'

Syed Saddiq semasa berucap ketika Ceramah Mega PH di pekarangan Bilik Gerakan Muda Tanjong Karang pada malam Isnin.
Syed Saddiq semasa berucap ketika Ceramah Mega PH di pekarangan Bilik Gerakan Muda Tanjong Karang pada malam Isnin.
A
A
A

TANJONG KARANG - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memberi tumpuan dan keutamaan kepada isu sistem pendidikan negara sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, isu sistem pendidikan di negara ini wajib diberi tumpuan oleh semua parti politik.

Menurutnya, laporan peringkat antarabangsa dan kerajaan sendiri menunjukkan berlaku kelemahan sistem pendidikan negara yang jauh ketinggalan berbanding di negara lain.

"Sistem pendidikan negara ketika ini dua darjat yang mana golongan elit yang menentang dasar dan tidak mahu membawa perubahan pada sistem pendidikan menghantar anak mereka ke sekolah swasta, antarabangsa, Perancis dan United Kingdom," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di pekarangan Bilik Gerakan Muda Tanjong Karang pada malam Isnin.

Syed Saddiq berkata, golongan sama yang menghalang perubahan pendidikan inilah mencetuskan sistem pendidikan dua darjat di negara ini.

Katanya, keadaan itu perlu dirombak segera bagi mengurangkan jurang pendidikan agar peluang sama rata dapat diberikan kepada semua peringkat golongan dan tiada pelajar tercicir.

"Perlaksanaan ini mestilah bermula di peringkat awal kanak-kanak lagi dan diteruskan di peringkat universiti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, Muda menyasarkan semua kerusi ditandingi pada PRU15 dimenangi parti itu untuk membawa agenda perubahan kepada negara.

"Kita perlu bekerja keras dan sedaya upaya untuk memenangi kesemuanya serta cuba sebaik mungkin dan serahkan kepada rakyat," kata beliau.