PRU15: Jasmira yakin tewaskan Abdul Hadi

Jasmira (tengah) ketika hadir sempena pembukaan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pulau Kerengga dan PDM Tebakang di Marang, pada Ahad.
Jasmira (tengah) ketika hadir sempena pembukaan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pulau Kerengga dan PDM Tebakang di Marang, pada Ahad.
A
A
A

MARANG - Pertama kali menggalas misi besar bagi meroboh kubu kuat Pas di Parlimen Marang, calon BN yakin mampu mengulangi rekod Datuk Seri Abdul Rahman Bakar yang digelar 'the giant killer' kerana pernah menewaskan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di kerusi berkenaan.

Jasmira Othman, 48, berkata, beliau yakin mendapat sokongan luar biasa berdasarkan suasana politik dan kecenderungan ditonjolkan pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Jelas beliau, walaupun Parlimen Marang merupakan kubu kuat Pas yang sukar ditembusi, ia bukan milik sesiapa dan rakyat berhak untuk memilih calon terbaik untuk membela nasib mereka.

"Saya tidak berasa perasaan yang pelik malah merasakan ia sesuatu yang biasa, yang normal seperti mana pertandingan-pertandingan yang saya pernah sertai sebelum ini.

"Saya juga tidak melihat Marang ini sebagai hak sesiapa. Ia adalah hak pengundi dan saya pulangkan kepada pengundi untuk memilih pada PRU kali ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Jasmira, gelombang sokongan diterima begitu menggalakkan dan telah ditonjolkan sebelum pembubaran Parlimen.

"Gelombang sokongan ini bukan hadir selepas pembubaran Parlimen, ia telah berlaku sebelum itu lagi dan kita yakin sokongan yang diberikan rakyat," kata beliau.

Jasmira memberitahu, isu pembangunan adalah salah satu isu utama yang akan dibangkitkan dan akan menjadi tumpuan sekiranya diberikan mandat pada PRU kali ini.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya dipilih, saya akan merubah sedikit demi sedikit terutama di kawasan bandar Marang ini supaya setanding dengan bandar-bandar lain di Terengganu.

"Setakat ini kita lihat pembangunan khususnya di bandar Marang masih terkebelakang berbanding di tempat lain," ujar beliau

Parlimen Marang mengalami pertembungan empat penjuru apabila penyandangnya, (Abdul Hadi) dari Pas akan bertemu calon import Pakatan Harapan (PH) iaitu Azhar Ab Shukur dari parti Amanah; calon dari parti UMNO (Jasmira) mewakili BN dan calon dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) iaitu Dr Zarawi Sulong mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).

Untuk rekod, Abdul Hadi pernah tewas dua kali kepada calon BN iaitu Abdul Rahman (calon BN) di kerusi itu pada 1986 dan 2004 manakala pada tahun 1990 dan 1995 beliau menang dengan majoriti undi yang tipis.

Pada PRU14 lalu, Abdul Hadi yang merupakan penyandang kerusi Parlimen itu memperoleh 53,749 undi dengan majoriti 21,954 menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endot (31,795 undi) dan calon Pakatan Harapan, Zarawi Sulong (5,138 undi).

Kawasan Parlimen Marang terdiri daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Alur Limbat, Bukit Payung, Rhu Rendang dan Pengkalan Berangan.

Pada PRU14 lalu, kesemua kawasan DUN di Parlimen ini dimenangi calon dari Pas.