Bajet 2023 antara manifesto BN: Ismail Sabri

Ismail Sabri pada sidang media ketika hadir pada program Kenduri Rakyat bersama komuniti Felda Sebertak di Bera pada Isnin. - Foto Bernama
Ismail Sabri pada sidang media ketika hadir pada program Kenduri Rakyat bersama komuniti Felda Sebertak di Bera pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A
BERA - Sebahagian intipati Bajet 2023 yang dibentang di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lepas, akan menjadi manifesto BN, mengambil kira belanjawan itu berpijak di bumi nyata, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, intipati bajet terbesar yang pernah disediakan dengan peruntukan RM372.3 bilion itu juga mencakupi semua pihak dan kerajaan mempunyai peruntukan mencukupi untuk melaksanakannya.

Beliau berkata, intipati bajet yang baik dan menyeluruh itu menyebabkan ada pihak mahu meniru belanjawan tersebut.



"Kita telah mengumumkan (bajet) lebih awal...Tan Sri Muhyiddin komen macam-macam tentang kerajaan tapi apabila kita bentang bajet yang baik maka dia juga ingin menciplak (meniru) bajet yang dibentangkan kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan saya," kata beliau.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kenduri Kampung Bersama Komuniti Felda Sebertak di Dewan Orang Ramai Felda Sebertak di sini pada Isnin, yang turut dihadiri calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN), Guai Khairulnizam Mohamad Zuldin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan memberi jaminan semua inisiatif Bajet 2023 termasuk bantuan kepada rakyat dan penjawat awam akan dilaksana serta ditambah baik, ketika mengumumkan manifesto PN pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri juga menafikan dakwaan Muhyiddin yang dilaporkan berkata beliau telah menolak permohonan Perdana Menteri kelapan itu supaya moratorium khas diberikan kepada golongan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

Beliau berkata, kerajaan sentiasa peka serta prihatin dengan PKMS dan golongan itu mendapat manfaat Bajet 2023 seperti pemberian geran sekali beri sebanyak RM1,000 dengan peruntukan RM1 bilion selain dana memulakan pinjaman bagi mengembangkan perniagaan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

"Moratorium adalah (bayaran balik) pinjaman (yang) ditangguhkan. Pinjaman tetap ada, jadi tidak selesaikan masalah, sebaliknya kita bantu mereka (PMKS) mengembangkan perniagaan... yang mana tidak ada modal kita beri pinjaman baharu.

"Saya tidak pernah kata menolak (permohonan moratorium khas PMKS) tapi meminta Kementerian Kewangan mengkaji perkara itu," kata Ismail Sabri yang mempertahankan kerusi Parlimen Bera yang disandangnya sejak 2004 pada PRU15.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, ditanya, apakah 'rahsia' beliau kekal cergas sepanjang berkempen dan dalam masa sama, menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata ia disebabkan "kesungguhannya dalam menjalankan tugas”.

"Apa pun mesti perlu kesungguhan, jika kita enjoy (seronok) dengan apa yang dilakukan, pasti tidak terasa penat... makan saya tak ada pantang pun, cuma amalkan pengambilan vitamin," kata beliau. - Bernama