Pembangunan warga Felda lebih baik di bawah BN: PM

Ismail Sabri yang juga calon BN bagi Parlimen Bera beramah mesra dengan sebahagian masyarakat setempat pada program Kenduri Rakyat bersama komuniti Felda Sebertak pada Isnin.
Turut kelihatan, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Kemayan, Khaizulnizam Mohamad Zuldin (kanan).
--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ismail Sabri yang juga calon BN bagi Parlimen Bera beramah mesra dengan sebahagian masyarakat setempat pada program Kenduri Rakyat bersama komuniti Felda Sebertak pada Isnin. Turut kelihatan, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Kemayan, Khaizulnizam Mohamad Zuldin (kanan). --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

BERA - [KEMAS KINI] Pembangunan masyarakat FELDA adalah lebih baik semasa di bawah kerajaan pimpinan BN berbanding Pakatan Harapan (PH) menerusi penyaluran pelbagai bantuan dan inisiatif bagi membantu golongan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai bantuan yang diberikan sejak awal penubuhan FELDA, kini diteruskan kepada generasi kedua, menunjukkan keprihatinan dan hasrat kerajaan mahu meningkatkan sosioekonomi penduduk di tanah rancangan.

"Banyak yang telah diumumkan kerajaan untuk warga FELDA dan kita boleh membandingkan sewaktu PH memerintah dengan zaman BN, perbezaan antara dua kerajaan ini dalam layanan terhadap masyarakat FELDA," katanya semasa berucap pada majlis Kenduri Kampung Bersama Komuniti Felda Sebertak di Dewan Orang Ramai Felda Sebertak di sini pada Isnin.

Pada sambutan Hari Peneroka FELDA pada Julai lepas, Ismail Sabri mengumumkan peruntukan hampir RM65 juta bagi melaksanakan lima inisiatif kepada warga peneroka dan generasi baharu, termasuk dalam aspek perumahan.

Menerusi pengumuman Bajet 2023 pada 7 Oktober lepas pula, sebanyak RM2.6 bilion diperuntukkan kepada semua agensi utama kerajaan yang mengawal selia aktiviti komoditi termasuk FELDA, selain menambah peruntukan menambah baik infrastruktur tanah rancangan daripada RM50,000 kepada RM66,000 setahun.

Ismail Sabri yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera berkata kerajaan juga memberi peluang kepada generasi baharu untuk melebarkan perniagaan dengan penubuhan Tabung Usahawan Belia Felda dengan dana pusingan RM10 juta.

Sementara itu, pada sidang media, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mengingatkan semua pihak supaya tidak melakukan provokasi sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

"Saya tidak mahu ada tindakan seperti menurunkan bendera, mencabut atau mengoyakkan poster (calon yang bertanding). Pilihan raya umum hanya selama dua minggu dan sebelum PRU pun kita hidup dengan aman dan damai.

"(Tempoh) dua minggu ini biarlah kita hidup seperti biasa dan jangan merosakkan hubungan kekeluargaan termasuk di Bera," katanya semasa ditanya mengenai tindakan pihak tertentu yang didakwa merosakkan bendera sebuah parti politik di sini.

Mengulas mengenai mood kempen yang memasuki hari ketiga, Ismail Sabri yang mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak tahun 2004 berkata, secara keseluruhan beliau menerima sokongan yang baik di Bera.

Artikel Berkaitan:


"Mood di Bera baik dan memberangsangkan kepada semua calon BN di sini, daripada pelbagai kaum yang berada di Bera," katanya.

Parlimen Bera mempunyai 77,669 pengundi dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Triang dengan calon BN adalah Yee Cheng Hwa, Kemayan (Khairulnizam Mohamad Zuldin) dan Guai (Datuk Sabariah Saidan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian manakala hari pengudian awal adalah pada 15 November ini. - Bernama