Presiden Korea Selatan mohon maaf insiden rempuhan Itaewon

Yoon Suk-yeol meletakkan sekuntum bunga di altar peringatan di hadapan Dewan Bandaraya di Seoul, Korea Selatan pada 3 November lalu untuk memberi penghormatan kepada mangsa insiden rempuhan maut di Itaewon. - Foto EPA
Yoon Suk-yeol meletakkan sekuntum bunga di altar peringatan di hadapan Dewan Bandaraya di Seoul, Korea Selatan pada 3 November lalu untuk memberi penghormatan kepada mangsa insiden rempuhan maut di Itaewon. - Foto EPA
A
A
A

SEOUL - Presiden Yoon Suk-yeol memohon maaf kepada rakyat Korea Selatan pada Isnin atas insiden rempuhan maut di Itaewon dan akan memastikan siasatan menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan mereka yang bersalah perlu bertanggungjawab.

Yoon mengemukakan permohonan maaf itu semasa sesi mesyuarat bagi mengkaji kawalan kumpulan dan peraturan keselamatan lain susulan tragedi yang mengorbankan 156 nyawa pada 29 Oktober, lapor Yonhap.

"Saya tidak berani membandingkan diri saya dengan ibu bapa yang kehilangan anak mereka, tetapi sebagai presiden yang sepatutnya melindungi nyawa dan keselamatan rakyat, saya turut berduka.

"Saya memohon maaf kepada keluarga yang berduka dan seluruh negara," katanya.

Kenyataan itu dilihat sebagai permohonan maaf rasmi pertamanya kepada negara, meskipun sebelum ini beliau turut menzahirkan pemohonan maaf semasa upacara keagamaan bagi memperingati mangsa tragedi.

Yoon mengulangi gesaannya kepada kerajaan untuk menangani akibat daripada tragedi itu dengan cara bertanggungjawab dan menambah baik peraturan keselamatan sedia ada untuk menjadikan negara lebih selamat.

"Saya akan memastikan kebenaran dirungkai secara menyeluruh berhubung tragedi ini dan mendedahkan proses itu kepada orang ramai secara telus tanpa sebarang keraguan,” katanya.

Mesyuarat pada Isnin itu turut dihadiri perdana menteri, menteri kewangan, menteri dalam negeri, anggota-anggota kabinet yang lain dan pakar awam mengenai isu bencana dan keselamatan serta polis barisan hadapan dan bomba termasuk penggubal dasar. - Bernama

Artikel Berkaitan: