Penduduk dunia dijangka capai lapan bilion 15 November ini

Penduduk dunia semakin ramai dan dijangka meningkat lebih tiga kali ganda sejak tahun 1950. - Foto AFP
Penduduk dunia semakin ramai dan dijangka meningkat lebih tiga kali ganda sejak tahun 1950. - Foto AFP
A
A
A

PARIS - Bahagian Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bilangan manusia di bumi akan meningkat kepada lapan bilion pada 15 November depan, lapor AFP pada Isnin.

Bilangan itu tiga kali ganda lebih tinggi berbanding 2.5 bilion bilangan pekerja global pada tahun 1950.

Bagaimanapun, selepas kemuncak awal 1960-an, kadar pertumbuhan penduduk dunia menurun secara mendadak, kata Ketua Bahagian Penduduk dan Cawangan Pembangunan PBB, Rachel Snow kepada AFP.

Pertumbuhan tahunan penduduk telah jatuh daripada paras tertinggi 2.1 peratus antara tahun 1962 hingga 1965 kepada di bawah satu peratus pada tahun 2020.

Angka itu berpotensi turun kepada sekitar 0.5 peratus menjelang tahun 2050 disebabkan penurunan berterusan dalam kadar kesuburan, menurut unjuran PBB.

Memandangkan peningkatan jangka hayat serta bilangan orang ketika dalam usia hamil, PBB mengunjurkan bilangan penduduk akan terus meningkat kepada kira-kira 8.5 bilion pada tahun 2030, 9.7 bilion pada tahun 2050 dan kemuncaknya adalah kira-kira 10.4 bilion pada tahun 2080an.

Kumpulan lain bagaimanapun, mengira angka yang berbeza.

Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME) yang berpangkalan di AS dalam kajian tahun 2020 menganggarkan, populasi global akan mencapai bilangan maksimum menjelang tahun 2064 tanpa pernah mencapai 10 bilion dan menurun kepada 8.8 bilion menjelang tahun 2100.

Artikel Berkaitan:

"Kajian kami lebih rendah berbanding PBB dan saya fikir kami mempunyai sebab yang kukuh," kata Pengarang Utama kajian IHME, Stein Emil Vollset kepada AFP.

Profesor Universiti Washington itu menyatakan bahawa di bawah model kesuburan yang agak berbeza, populasi manusia hanya akan mencapai antara sembilan dan 10 bilion orang. - AFP