Amanah minta SPR, polis siasat ucapan tular Razman

Razman (kiri) dan Asmuni
Razman (kiri) dan Asmuni
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak meminta siasatan dilakukan terhadap Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berhubung satu ucapan yang didakwa berbaur fitnah sepertimana tular di media sosial.

Pengerusi Amanah, Datuk Asmuni Awi berkata, ucapan dibuat sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu telah mencemar keharmonian parti dan rakyat.

Sewajarnya kempen-kempen berbaur fitnah ini dihentikan dan agama Islam cukup melarang membuat fitnah kerana kesan kepada masyarakat cukup besar serta tindakan ini amat dikesali sama sekali.

"Kita minta Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan polis untuk meneliti dan menyiasat ucapan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kempen seharusnya menjadi fokus kepada calon bertanding mengetengahkan isu-isu rakyat seperti ekonomi, harga barang dan kemiskinan, bukannya fitnah serta adu domba.

"Calon-calon yang mengamalkan politik fitnah dan kebencian perlu ditolak kerana tidak membawa apa-apa manfaat dan kebaikan pun kepada rakyat dan negara," katanya.

Pada Ahad, laporan sebuah portal berita menyebut, Razman yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol mendakwa UMNO dan Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama selepas PRU15 ini.

Beliau juga dilapor mendakwa, PH yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ke negara ini, selain mendakwa DAP membawa agenda komunis.

Artikel Berkaitan: