Pengasuh nekad redah asap tebal dukung bayi selamatkan diri

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengasuh nekad meredah asap tebal sambil mendukung bayi lelaki berusia tiga bulan bagi menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran rumah di Jalan Raja Muda Musa, yang terletak berhampiran pintu gerbang Kampung Baru di sini malam Ahad.

Robiah Abdul Raof, 38, berkata, ketika kejadian dia bersama bayi yang dijaganya berada di dalam rumah sebelum terlihat asap di bahagian atas.

"Ketika itu, bayi sedang tidur dan saya segera keluar menyelamatkan diri tanpa sempat membawa pakaian atau dokumen pengenalan.

"Keadaan ketika itu api sedang marak (di tingkat atas) dan asap banyak tetapi saya nekad untuk selamatkan diri dan bayi yang saya asuh sejak tiga bulan lepas. Ketika kejadian, ibu bapa bayi itu sedang bekerja," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Robiah masih trauma, namun bersyukur kerana bertindak pantas menyelamatkan dirinya dan bayi itu.

Abdul Rahman Maarif, 65, pula berkata, rumah miliknya di premis itu menempatkan sembilan pekerja beliau yang bekerja di sebuah kedai makan berhampiran.

Beliau mendakwa, kebakaran itu berpunca daripada litar pintas susulan keadaan rumah yang sudah berusia 60 tahun.

"Sebelum ini, pekerja ada beritahu ada masalah wayar dan saya sudah baiki tetapi kali ini, jadi sekali lagi sebelum berlaku kebakaran malam ini," katanya.

Dalam kejadian pada jam 8.19 malam itu, sebuah premis kediaman yang mempunyai lima pintu rumah musnah dalam kebakaran.

Artikel Berkaitan:

Tiada mangsa dilaporkan terlibat. - Bernama