PRU15: NGO, ahli PKR sokong Tian Chua tanding semula

Tian Chua (dua kanan) bersama penyokongnya ketika ditemui pemberita pada hari penamaan calon di Sentul.
Tian Chua (dua kanan) bersama penyokongnya ketika ditemui pemberita pada hari penamaan calon di Sentul.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mendapat sokongan ahli PKR.

Ahli PKR menyokong keputusan Tian Chua kerana kembali bertanding di Parlimen Batu berikutan janji bekas Naib Presiden PKR itu untuk berkhidmat semula kepada mereka di kawasan Parlimen berkenaan.

Presiden sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang juga ahli PKR, Dr Selvendran Krishnan berkata, perjuangan Tian Chua sebelum ini berjaya membangkitkan semangat rakyat malah berjaya mewujudkan 'gelombang reformasi' hingga kini.

Menurutnya, kebangkitan semangat rakyat itu juga menjadi antara faktor Parti Keadilan Nasional diasaskan pada 1999 dan Tian Chua adalah antara pemangkin di sebalik pembentukan dan penubuhan parti berkenaan.

"Tian Chua merupakan antara tokoh reformasi pada akhir 90-an dan merupakan antara pemimpin awal PKR selain menjadi Naib Presiden PKR sejak 2010 dan ahli Parlimen Batu sejak 2008.

"Pada PRU14 (2018), Tian Chua tidak bertanding selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mendapati beliau hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya berkenaan.

"Walaupun beliau tidak bertanding beliau tetap berkempen di kalangan rakyat untuk mengangkat Prabakaran sebagai wakil rakyat dan menyokong calon terbabit di kawasan Parlimen Batu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Selvendran berkata, Prabakaran kemudiannya memenangi kerusi Parlimen Batu dan tiada siapa boleh menafikan sumbangan terbesar Tian Chua adalah di sebalik kemenangan Prabakaran.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, namun penduduk Batu kecewa dan sedih apabila Tian Chua tidak dicalonkan semula di kerusi berkenaan pada PRU15 sebaliknya mengekalkan Prabakaran sebagai calon Pakatan Harapan.

"Pengundi Batu mengenali dan mengenang jasa Tian Chua dan akan terus memberikan sokongan terhadap bekas Ahli Parlimen Batu itu walaupun beliau bertanding sebagai calon Bebas pada PRU15," katanya.

Untuk rekod, Tian Chua menyandang kerusi Parlimen Batu selama dua penggal dan menyatakan sokongan kepada calon termuda pada PRU14, P Prabakaran selepas tidak dapat bertanding pada 2018 kerana hilang kelayakan.

Tian Chua yang ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Gemilang SMK Sentul Utama pada Sabtu berkata, pengundi memberikan mandat kepada Prabakaran pada 2018 berikutan jaminan dan kepercayaan diberikan beliau walaupun tidak mengenali Prabakaran ketika itu.

Tian Chua bagaimanapun menolak dakwaan yang menyatakan kembali bertanding pada PRU15 sebagai calon Bebas adalah untuk memecahkan undi dan mengganggu PH mempertahankan kerusi di kawasan itu sebaliknya kerana desakan pengundi yang mahu beliau bertanding semula di Parlimen Batu.

Kerusi Parlimen Batu bakal menjadi rebutan 10 calon bertanding iaitu pertembungan tertinggi pada PRU15.