Abd Rahman fokus tangani isu kemiskinan di Sabak Bernam

Abd Rahman (dua dari kanan) beramah mesra bersama penjual dan pengunjung semasa lawatannya ke Pantai Bagan Nakhoda Omar pada Ahad.
Abd Rahman (dua dari kanan) beramah mesra bersama penjual dan pengunjung semasa lawatannya ke Pantai Bagan Nakhoda Omar pada Ahad.
A
A
A

SABAK BERNAM - Calon BN kerusi Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri memberi tumpuan untuk membantu penduduk B40 dan golongan asnaf di Sabak Bernam keluar daripada kepompong kemiskinan.

Abd Rahman berkata, golongan itu masih ramai yang perlu dibantu melalui pendekatan bersepadu dan saluran yang betul.

Menurutnya, antara kaedah yang perlu dilaksanakan ialah meningkatkan taraf pendidikan anak-anak, seterusnya dapat membasmi kemiskinan.

"Kemiskinan yang dihadapi bukanlah untuk diwarisi oleh anak-anak dan hanya dengan pendidikan ia mampu memberi jaminan masa depan lebih baik dan selesa," katanya pada program bertemu penjaja makanan di Pantai Bagan Nakhoda Omar di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerjasama kerajaan digalakkan membantu dari segi pendidikan dengan menawarkan tuisyen percuma, yuran pengajian dan bantuan persekolahan lain kepada golongan memerlukan.

"Usaha ini secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf pendidikan anak-anak di sini sekali gus mengurangkan jurang kemiskinan bandar dan luar bandar," ujar beliau.

Selain itu, katanya, fokus juga perlu diberi perhatian bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan pelancongan di Sabak Bernam yang turut menjadi daya tarikan pengunjung.

Bagaimanapun, katanya, jika isu asas tidak ditangani segera dikhuatiri jumlah pelancong semakin berkurangan selain turut memberi kesan kepada ekonomi setempat.

Artikel Berkaitan:

"Misalnya Pantai Bahan Nakhoda Omar mempunyai tarikan tersendiri, namun keadaannya tidak diselenggara dengan baik seperti masalah tandas tidak berfungsi dan terbiar, laluan masuk ke gerai penjaja berlubang dan berlopak teruk terutama jika hujan dan air pasang besar.

"Keadaan ini menyebabkan pengunjung berasa tidak selesa untuk berkunjung dan membeli di sini kerana persekitarannya tidak memuaskan," jelas Abd Rahman.

Beliau memberitahu, perkara itu sudah beberapa kali diajukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun ia masih tiada jalan penyelesaian.

"Kita harap apabila kita menang dan menjadi kerajaan, perkara seperti ini dapat diselesaikan bagi memenuhi hasrat penduduk tempatan selain kita bangunkan kawasan ini sebagai pusat pelancongan popular," kata beliau.

Ditanya mengenai penyandang kerusi itu dari Perikanan Nasional (PN), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh yang tidak tercalon pada PRU15, Abd Rahman berkata, beliau tidak mencampuri urusan parti lain.

"Saya tidak tahu apa permasalahan yang berlaku kerana saya difahamkan pada mulanya nama Mohd Fasiah ada dicalonkan.

"Bagi saya tidak kisah siapa pun lawan kita dari parti mana, tetapi BN tetap sedia memberi khidmat kepada rakyat," katanya.

Abd Rahman akan bertanding empat penjuru bagi kerusi itu menentang calon PN, Kalam Sahlan; calon Pakatan Harapan (PH), Shamsul Ma'arif Ismail dan Datuk Seri Idris Yusof@Eizlan Yusof mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).

Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Sabak Bernam dimenangi Mohd Fasiah mewakili BN, namun bertindak keluar UMNO dan menyertai Bersatu.