Noorkhiriah tumpang rezeki anak

Noorkhiriah Ahmad
Noorkhiriah Ahmad
A
A
A
PADA awal tahun ini, pelakon berbakat besar Noorkhiriah Ahmad Shapie, telah berkongsi berita gembira apabila hasratnya untuk memiliki anak perempuan dimakbulkan ALLAH SWT.

Bayi yang diberi nama Nur, sempena nama drama rantaian popular lakonannya itu dijaga seminggu selepas dilahirkan pada 10 November tahun lalu.

Menurut Noorkhiriah, rezeki mereka sekeluarga melimpah ruah selepas kehadiran Nur dan ia datang dari pelbagai sumber.

"Setiap anak itu ada rezeki masing-masing, begitu juga selepas kehadiran Nur. Ada sahaja rezeki masuk.

"Ada ketikanya memang tak menang tangan tapi saya anggap apa sahaja yang masuk itu sebagai rezeki anak-anak," katanya kepada Sinar Harian.

No Image Caption

Noorkhiriah berkata, dia sedaya upaya menyusukan anak perempuannya itu sehingga kenyang dan mencari ahli keluarga di sebelah suami yang boleh menyusukan bagi menjadikan dia mahram di antara suami dan dua anak lelakinya.

"Seperti yang saya katakan rezeki itu datang pelbagai sudut dan dapat menyusukan Nur pun adalah rezeki. Cuma saya tak pasti sama ada dia kenyang atau tidak.

"Ini kerana ketika dia baru berusia dua bulan, saya sibuk dengan penggambaran dan tak dapat susukan Nur secara terus. Jadi air susu itu mula berkurangan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya sedang berusaha untuk susukan dia melalui ibu susuan yang terdiri daripada saudara rapat di sebelah suami, bagi memastikan dia mahram di antara suami dan anak-anak.

"Saya pun dah anggap dia seperti anak kandung saya sendiri dan bila orang tanya saya ada berapa orang anak, saya akan jawab tiga," ujarnya.

Noorkhiriah mendirikan rumah tangga dengan Azfaizul sejak 13 tahun lalu. Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua anak, Muhammad Hudhaifah, 10, dan Muhammad Yusoff, 8.