10 penjuru di Parlimen Batu, tertinggi di seluruh negara

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertembungan merebut 13 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan-Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, menyaksikan masing-masing berhadapan sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru, dengan Parlimen Batu merekodkan 10 penjuru, yang tertinggi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Parlimen Batu yang mempunyai 113,863 pengundi berdaftar itu, melibatkan penyandang P Prabakaran daripada Pakatan Harapan (PH-PKR), A Kohilan Pillay mewakili Bn (BN-MIC), Azhar Yahya daripada Perikatan Nasional (PN-PAS), Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan), Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia).

Turut menyertai persaingan di kerusi Batu itu ialah empat calon Bebas iaitu Chua Tian Chang @ Tian Chua, Siti Zabedah Kasim, Nur Fathiah Syazwana Shaharudin @ Cleo dan Too Cheng Huat.

Tian Chua yang juga ahli PKR, membuat kemunculan semula selepas beliau tidak dapat bertanding pada PRU14 akibat didenda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan mengeluarkan perkataan kesat, yang boleh mengaibkan seorang pegawai polis, pada 2014.

Kerusi Parlimen Titiwangsa menyaksikan dua bekas menteri Kabinet bertarung iaitu bekas Menteri Kewangan Kedua yang juga Ketua UMNO Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mewakili BN, manakala bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menjadi calon PH selepas tiga penggal bertanding di Parlimen Shah Alam.

Turut bertanding di kerusi berkenaan ialah Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Dr Rosni Adam dari PN manakala Pejuang mempertaruhkan Pengerusi Pejuang Badan Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Parlimen Bandar Tun Razak yang mempunyai 119,185 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mewakili PH-PKR, penyandang kerusi yang juga Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar (PN-Bersatu) dan Ketua MCA Tun Razak Datuk Chew Yin Keen (BN).

Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Penasihat PKR tercicir kad pengenalan, ketika berarak ke pusat penamaan calon di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini, sebelum berjaya ditemukan seorang penyokongnya.

Penyandang kerusi Lembah Pantai yang juga Ketua Penerangan PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang mewakili PH, berdepan bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Ramlan Shahean @ Askolani yang mewakili BN-UMNO, selain calon Pejuang-Putra Noor Asmah Mohd Razali, dan Fauzi Abu Bakar (PN-Pas).

Artikel Berkaitan:

Semua 11 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 1,151,407 pemilih berdaftar.

Parlimen Putrajaya pula menyaksikan pertembungan enam penjuru antara BN, PN, PH, Pejuang dan dua calon bebas, kali pertama sejak kerusi itu dipertandingkan pada 2004, untuk penyadangnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-UMNO) mempertahankan kerusi itu.

Saingan di kerusi itu turut melibatkan Menteri Kanan Pendidikan yang juga Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin (PN), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH-PKR), Timbalan Presiden Berjasa Datuk Mohd Rosli Ramli yang menggunakan logo Pejuang, serta dua calon Bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.

Parlimen Putrajaya merupakan kawasan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang mempunyai pengundi berdaftar berjumlah 42,881 orang.

Parlimen Labuan yang mempunyai 44,484 pengundi berdaftar terlibat dalam pertandingan enam penjuru termasuk penyandang kerusi iaitu Ketua Bahagian Parti Warisan Labuan, Datuk Rozman Isli.

Beliau akan ditentang calon BN, Datuk Bashir Alias yang juga Ketua UMNO Labuan, calon PN Datuk Suhaili Abdul Rahman yang merupakan Ketua Bersatu Labuan, Datuk Dr Ramli Tahir (PH-Amanah), Dayang Rusimah @ Raynie Datuk Mohd Din Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta Datuk Seri Ramle Mat Daly (Pejuang-Putra).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari mengundi dengan pengundian awal pada 15 November. - Bernama