Sokongan Tajuddin bina keyakinan calon BN

Tajuddin (dua dari kanan) mengetuai perarakan calon ke pusat penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah di Kampung Gajah.
Tajuddin (dua dari kanan) mengetuai perarakan calon ke pusat penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah di Kampung Gajah.
A
A
A

PASIR SALAK - Kehadiran bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika perarakan calon ke Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah di sini pada Sabtu menunjukkan persefahaman yang terbentuk dalam BN.

Calon Parlimen Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, sokongan yang diberikan Tajuddin itu memperlihatkan bahawa kepentingan parti mengatasi segala-segalanya.

"Saya terharu beliau memberi laluan kepada saya meneruskan legasi yang telah dibina untuk terus memberi khidmat bakti kepada rakyat.

"Beliau sendiri sering menyatakan komitmen dan sokongan kepada parti serta calon yang bertanding. Sokongan beliau amat bermakna bagi kami sekaligus menambah keyakinan calon dan jentera untuk bekerja keras mempertahankan kerusi ini," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak berkata, pembangunan pertanian dan pelancongan menjadi fokus utama sekiranya memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Jelasnya, suatu kajian dan tinjauan dilaksanakan dalam menghasilkan manifesto agar dapat meningkatkan sosioekonomi dalam kalangan rakyat.

"Aspek ekonomi pertanian penting kerana Pasir Salak kawasan yang luas dengan industri padi dan kelapa sawit. Saya mahu produktiviti pertanian ini ditingkatkan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) agar selari dengan Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

"Penggunaan teknologi terkini penting dalam usaha meningkatkan kecekapan pertanian berikutan majoriti rakyat kawasan ini bergantung kepada aktiviti pertanian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairul Azwan (kiri) beramah mesra dengan calon Pakatan Harapan Parlimen Pasir Salak, Nik Omar Nik Abdul Aziz (kanan) di pusat penamaan calon di Kampung Gajah.
Khairul Azwan (kiri) beramah mesra dengan calon Pakatan Harapan Parlimen Pasir Salak, Nik Omar Nik Abdul Aziz (kanan) di pusat penamaan calon di Kampung Gajah.

Khairul Azwan berkata, pelancongan warisan yang terkenal di Daerah Perak Tengah itu akan dimasukkan dalam manifestonya agar dapat dibaik pulih.

"Potensi pelancongan sangat besar yang mana suatu ketika dahulu menjadi tumpuan terutama Kompleks Bersejarah Pasir Salak.

"Kini bangunannya yang rosak, kita berusaha mengembalikan kegemilangan Pasir Salak dengan memperbaharui industri pelancongan tempatan yang ada," katanya.