Timbalan menteri, bekas exco berentap di Pendang

Gambar dari kiri: Awang, Suraya
Gambar dari kiri: Awang, Suraya
A
A
A

PENDANG - Bekas exco kerajaan negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob bertembung dengan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi merebut kerusi Parlimen Pendang.

Beliau yang sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang selama empat penggal berturut-turut dipilih sebagai calon BN pada PRU15.

Suraya berkata, walaupun ini adalah pengalaman pertama bertanding di peringkat Parlimen namun ia bukan masalah besar buat dirinya.

"Bagi saya situasi dia sama macam pilihan raya yang sebelum-sebelum ini cuma cabaran pada PRU15 kali ini adalah pengundi-pengundi muda," katanya ketika ditemui selepas tamat proses penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Pendang di sini pada Sabtu.

Menurutnya, terdapat kira-kira 20,000 orang pengundi muda yang berdaftar secara automatik di Parlimen Pendang.

Keempat-empat calon bergambar bersama Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pendang, Ilyas Shuib (tengah).
Keempat-empat calon bergambar bersama Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pendang, Ilyas Shuib (tengah).

"Saya rasa golongan ini mereka tak tahu pun yang mereka pengundi jadi kita perlu beri kesedaran untuk tarik mereka keluar mengundi.

"Ibu bapa juga perlu mainkan peranan yang penting untuk sedarkan bahawa undi mereka sangat berharga untuk masa depan negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Suraya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Pendang sebelum ini melepaskan jawatannya sebagai Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga negeri pada 13 Oktober lalu.

Beliau menegaskan tindakan itu diambil untuk memberi fokus kepada kerja-kerja parti bagi menghadapi PRU15.

Sementara itu, Awang yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pendang berharap dapat mempertahankan kerusi terbabit.

"Misi saya untuk penduduk Pendang belum tercapai sepenuhnya kerana penggal PRU14 agak banyak halangan dan ujian.

"Saya berazam untuk jadikan penduduk dalam Parlimen ini sebagai penduduk yang berilmu sekurang-kurangnya mempunyai ijazah sarjana pada tahun 2030," katanya yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Suraya dan Awang bakal menghadapi pertandingan empat penjuru dengan dua lagi calon iaitu Zulkifly Mohamad (PH) dan Abdul Rashid Yob (Pejuang)