Bertanding dua kawasan, Tuan Ibrahim manfaat teknologi

Tuan Ibrahim (dua dari kiri) bersalam dengan Dr Wan Ahmad Kamil disaksikan Mohamad Rizal dan Nurul Amal.
Tuan Ibrahim (dua dari kiri) bersalam dengan Dr Wan Ahmad Kamil disaksikan Mohamad Rizal dan Nurul Amal.
A
A
A

KOTA BHARU - Bertanding di dua kawasan tidak menjadi masalah kepada calon Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kerana sistem teknologi memudahkan pengurusannya.

Tuan Ibrahim berkata, penggunaan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya bagi membolehkan beliau bersama rakyat.

"Tiada masalah bertanding di dua kawasan kerana kita boleh menggunakan sistem dalam talian dan gerak kerja turut dibantu ahli dan pimpinan lain.

"Sebagai wakil rakyat, saya memang memberi perhatian kepada kedua-dua kawasan selain ada pembantu yang memberi maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan borang penamaan calon di Balai Islam Lundang, Kota Bharu pada Sabtu.

Tuan Ibrahim hadir bersama penyokong, Kamarul Zaman Che Ibrahim dan pencadang, Mohd Nuri Mat Yaakob.

Beliau bertanding di Parlimen Kubang Kerian dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, Lipis, Pahang.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memberitahu, akan meneruskan usaha mengangkat Kubang Kerian sebagai bandar diraja sesuai dengan pembangunan Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga sentiasa memneri komitmen mengenai masalah air di negeri ini," ujarnya.

Beliau juga berharap peratus keluar mengundi tinggi walapun dalam keadaan cuaca tidak menentu sepanjang peralihan Monsun Timur Laut.

Tuan Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian pada PRU14 dengan majoriti 19,369.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi mahu pengundi Kubang Kerian memikirkan masa depan dan memilih yang terbaik.

Beliau yang mengakui sebak dipilih sebagai calon akan terus berjuang untuk parti, agama dan bangsa.

"Kita juga sudah nampak gelombang orang muda dan mahukan perubahan untuk Kubang Kerian," katanya.

Parlimen Kubang Kerian menyaksikan pertembungan empat kerusi yang menyaksikan dua lagi calon iaitu Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah daripada Pakatan Harapan dan Mohamad Rizal Razali mewakili GTA-Pejuang.

Sementara itu, Dr Wan Ahmad Kamil pula mahu memperjuangkan isu bekalan air bersih dan taman rekreasi selain memakmurkam Kubang Kerian.

Mohamad Rizal pula, menggunakan visi merakyatkan rakyat dengan hasrat mahu menyelesaikan isu rumah dan perkara lain yang menjejaskan penduduk Kubang Kerian.