Mohd Rofaie dipecat serta-merta

Mohd Rofaie Hamdan
Mohd Rofaie Hamdan
A
A
A

TEMERLOH - Penyelaras Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Rofaie Hamdan dipecat berkuatkuasa serta-merta selepas tindakan beliau memberikan sokongan terhadap calon-calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberitahu, parti itu mendapati banyak perkara yang dinyatakan Mohd Rofaie adalah tidak benar dan bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Menurutnya, dakwaan bahawa Pengerusi Pejuang Tun Mahathir Mohamad membuat keputusan kerana diugut oleh mana-mana pihak yang menuntut kerusi tertentu tidak benar sama sekali.

Mukhriz
Mukhriz

"Semua keputusan termasuk berkenaan agihan kerusi PRU15 ini dibuat secara musyawarah dan keputusan dicapai bersama secara harmoni.

"Bagi memberi ruang kepada semua pihak, tentunya timbul keadaan dimana kekuatan satu pihak dikongsi dengan pihak yang dipilih bertanding disesuatu kawasan Parlimen.

"Sebaliknya Datuk Rofaie sendiri yang mengugut akan bertindak sesuatu jika tidak dinamakan sebagai calon Pejuang di Temerloh. Terbukti beliau bertindak menyokong calon-calon Perikatan Nasional (PN) apabila beliau tidak dipilih sebagai calon," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar Mukhriz, sekiranya Rofaie telah dipilih sebagai calon di situ, tentunya beliau tidak akan berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, wujudnya gerakan rakyat melalui Gerakan Tanah Air (GTA) yang dianggotai empat parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan, sudah tentu memerlukan sifat tolak ansur dan kompromi agar setiap anggota berkongsi kekuatan dengan yang lain.

"Pastinya kenyataan beliau (Rofaie) bahawa kononnya wakil-wakil PN mempunyai rekod cemerlang berkhidmat di Temerloh hanyalah dibuat setelah beliau gagal menjadi calon," ujar Mukhriz.