'Jangan sia-siakan hak mengundi'

Haim Hilman (kanan) menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk 'Setiakah Rakyat Malaysia?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat yang dihoskan Asmaliza.
Haim Hilman (kanan) menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk 'Setiakah Rakyat Malaysia?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat yang dihoskan Asmaliza.
A
A
A

SHAH ALAM - Jangan sia-siakan hak mengundi kerana kewajipan yang datang sekali dalam tempoh lima tahun itu bakal menentukan hala tuju negara dan nasib anak bangsa.

Demikian tegas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Haim Hilman Abdullah yang mahukan orang ramai keluar mengundi dengan penuh rasa tanggungjawab untuk membuat pilihan tepat, sekali gus memastikan negara mempunyai barisan kepimpinan terbaik.

Beliau yang terkenal dengan panggilan Profesor Rakyat berkata, penduduk Malaysia bertuah kerana hidup di dalam sebuah negara demokratik yang membolehkan masyarakat mempunyai kuasa untuk membentuk kerajaannya sendiri.

Pengundi bijak pastinya akan berusaha memastikan calon dipilih dapat membawa kepada kestabilan dan kemakmuran negara. Saya berharap pengundi akan dapat memberi peluang dan ruang kepada siapa sahaja yang mampu memastikan kestabilan negara.

“Pengundi perlu membuat penilaian undi dengan penuh tanggungjawab kerana apa yang kita pilih itu bukan sahaja akan memberi kesan kepada diri, malah kepada seluruh masyarakat di luar sana dan negara. Ini kerana kesannya akan kita sama-sama hadapi selepas penilaian itu selesai dan tertubuhnya kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk ‘Setiakah Rakyat Malaysia?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat. Rancangan itu dihoskan oleh Asmaliza Mansor.

Haim berkata, negara memerlukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan tidak pernah berasa lelah untuk membantu rakyat yang lemah serta tidak berkemampuan.

Kata beliau, bagi memastikan semua hasrat tersebut tercapai, menjadi satu kepentingan buat rakyat untuk mengundi pemimpin yang berintegriti tinggi dan bebas rasuah.

Artikel Berkaitan:

“Menjadi satu kewajipan buat pengundi memilih kepimpinan bersih, amanah serta berusaha memastikan negara kekal makmur menerusi perkembangan ekonomi mampan,” jelasnya.

Tambahnya, pemimpin amanah dan berintegriti serta bebas rasuah adalah mereka yang mempunyai visi cukup jelas untuk membawa negara maju ke hadapan.