Ismail tidak kecewa, mahu terus bantu rakyat

Ismail ketika temu ramah bersama pengamal media pada sidang media selepas Majlis Program Karnival Memperkasa Ekonomi Komuniti Keluarga Malaysia Peringkat Daerah Maran 2022 di Dewan Arena Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang malam Jumaat. - Foto Bernama
Ismail ketika temu ramah bersama pengamal media pada sidang media selepas Majlis Program Karnival Memperkasa Ekonomi Komuniti Keluarga Malaysia Peringkat Daerah Maran 2022 di Dewan Arena Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang malam Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MARAN - [DIKEMAS KINI] "Saya tak merajuk tapi sebaliknya ingat nak berehat tapi selepas buat istikharah, saya fikir ke mana saya nak pergi dan berikan sumbangan," kata penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Beliau berkata sedemikian berikutan tindakannya untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut laporan Awani, Ismail berkata, tindakan tersebut bukan disebabkan kecewa selepas digugurkan UMNO pada PRU15 kali ini, sebaliknya dilakukan semata-mata untuk meneruskan khidmatnya kepada rakyat di kawasan terbabit.

Saya sebenarnya buat solat istikharah, saya tidak ada lagi dalam bahagian UMNO dan sebagainya. Saya telah berkhidmat (dalam) politik lama dan bukan kerana saya tak terpilih tidak dicalonkan, itu menjadi sebab.

"Tetapi saya istikharah minta petunjuk ALLAH SWT bagaimana saya dapat meneruskan perkhidmatan sebab saya terlibat banyak dengan badan bukan kerajaan (NGO) bertahun-tahun kerana dulu saya pegawai kerajaan.

"Apabila saya tak terlibat secara terus, khidmat kepada rakyat itu terbatas, mungkin ALLAH izinkan saya untuk saya diberikan peluang bersama arena politik berterusan saya bertanding di Parlimen Maran," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar khas di Dewan Arena YAM Tengku Muda Pahang di sini, pada Jumaat.

Ujar beliau lagi, keyakinan diberikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang amat dihargai untuk bertanding atas tiket parti itu.

"Saya diberi izin, saya ucapkan terima kasih Presiden Pas, saya telah diberi izin menawarkan diri bersama dengan Pas.

"Saya berlatar belakangkan agama, saya nampak mungkin di sini tempatnya Tuhan bagi saya ruang sedikit meneruskan perkhidmatan kepada masyarakat," tambah beliau.

Ismail telah memenangi Parlimen Maran selama empat penggal sejak PRU11 dan lada PRU14, beliau memenangi kerusi Parlimen itu sebanyak 16,064 undi dengan majoriti 3,763 menewaskan Hasenan Haron (Pas) dan Ahmad Farid Ahmad Nordin (PKR) atas tiket Barisan Nasional (BN).

Selain Ismail, pemimpin UMNO yang bakal bertanding atas tiket PN selain penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk PRU15.