Ridzuan buat kejutan, pilih jadi calon Bebas

Ridzuan (tengah) memilih menjadi calon Bebas untuk DUN Pulau Tawar pada PRU15.
Ridzuan (tengah) memilih menjadi calon Bebas untuk DUN Pulau Tawar pada PRU15.
A
A
A

JERANTUT - Naib Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Ridzuan Mansor, 48, melakukan kejutan apabila memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ridzuan yang juga memangku Timbalan Ketua Bahagian itu dilihat melakukan tindakan drastik menjelang sehari sebelum penamaan calon pada Sabtu.

Menurutnya, tindakan tersebut kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan calon UMNO untuk bertanding dalam PRU15 kali ini yang dikatakan kerana pemilihan tidak dalam kalangan ahli jawatankuasa serta tidak mengikut hierarki sebenar dalam parti dengan meletakkan calon muda.

"Saya berasa dikhianati oleh tangan ghaib dalam UMNO bahagian ini yang tidak memilih calon yang sepatutnya yang sudah bekerja keras selama ini.

"Pandangan saya, cara pemilihan yang tidak mengikut hierarki dan calon yang layak serta lebih berketrampilan seolah-olah mahu membunuh karier politik mereka serta mencantas peluang (calon) berkenaan," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Kampung Temin di sini pada Jumaat.

Ujar beliau, dengan meletakkan calon muda yang tidak mengikut hierarki yang sebenarnya juga dakwa beliau, boleh membunuh karier politik lebih awal sekiranya calon dipilih tidak memenangi PRU15 tersebut.

"Saya tetap mematuhi keputusan pemilihan yang dibuat oleh Ketua Bahagian ini, tetapi agak menghairankan mengapa dalam kalangan ahli jawatankuasa yang layak serta sepatutnya tidak dicalonkan.

"Ini menunjukkan kelemahan pengurusan dan pentadbiran UMNO bahagian ini dengan mengetepikan calon yang lebih layak dan inilah menyebabkan saya memilih bertanding sebagai calon Bebas untuk memberikan pengajaran serta menghapuskan 'kudis' dalam (UMNO) Bahagian ini," kata Ridzuan.

Artikel Berkaitan:

Ridzuan berkata, dia memilih untuk bertanding di DUN Pulau Tawar kerana kawasan itu merupakan kampung kelahirannya, ramai ahli keluarga serta kenalannya malahan sudah hadam dengan pengundi di kampung tradisional pesisir Sungai Pahang dan kawasan Felda.

"Saya sudah bertekad akan melawan habis-habisan bagi menegak kebenaran dan bersedia untuk disingkirkan daripada UMNO berasaskan peraturan disiplin parti ini.

"Walau bagaimanapun, roh saya masih tetap dengan UMNO kerana parti inilah yang mencanai kepimpinan serta pengalaman saya setelah berjuang hampir 25 tahun dalam UMNO Bahagian dan DUN," kata beliau.

Dalam pada itu, ditanya adakah beliau sedia berunding dengan pihak berkaitan, Ridzuan menegaskan sudah menutup pintu rundingan dengan semua pihak bahagian ini dan enggan menarik balik keputusannya bertanding sebagai calon Bebas.

"Saya akan bertanding dengan menggunakan lambang gajah serta tagline 'Pakcik Prihatin' dan nekad tidak menoleh ke belakang lagi," ujar anak kelahiran Bukit Nikmat, di sini.

Pemegang Ijazah Pengurusan dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM) itu juga memberitahu, jika menang dalam PRU15, beliau akan memfokuskan kebajikan orang muda serta pembangunan di kampung tradisional dan Felda daerah ini.

"Saya sudah lama mendekati masyarakat menerusi landasan UMNO dan berkhidmat sebagai Ahli Majlis Daerah Jerantut sejak beberapa lama, sudah pun tahu denyut masalah penduduk dan pembangunan di Jerantut," jelas beliau.