Pilih pemimpin terbaik, jangan sia-siakan undi

Haim Hilman (kanan) menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk 'Setiakah Rakyat Malaysia?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat yang dihoskan Asmaliza.
Haim Hilman (kanan) menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk 'Setiakah Rakyat Malaysia?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat yang dihoskan Asmaliza.
A
A
A

SHAH ALAM - Jangan sia-siakan hak mengundi kerana kewajipan yang datang sekali dalam tempoh lima tahun itu bakal menentukan hala tuju negara dan nasib anak bangsa.

Demikian tegas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah yang mahukan orang ramai keluar mengundi dengan penuh rasa tanggungjawab untuk membuat pilihan tepat, sekali gus memastikan negara mempunyai barisan kepimpinan terbaik memacu negara.

Beliau yang terkenal dengan panggilan Profesor Rakyat berkata, rakyat Malaysia bertuah kerana hidup di dalam sebuah negara demokratik yang membolehkan rakyatnya mempunyai kuasa untuk membentuk kerajaannya sendiri.

Sehubungan itu kata beliau, orang ramai diingatkan melihat peranan diri yang benar-benar mampu membawa kepada pembangunan negara bangsa, maka setiap individu perlu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bijak.

Beliau berkata, pengundi bijak pastinya akan berusaha memastikan calon yang dipilih dapat membawa kepada kestabilan dan kemakmuran negara.

"Saya berharap pengundi akan dapat memberi peluang dan ruang kepada siapa sahaja rakyat di negara ini yang mampu memastikan kestabilan negara dapat dibina.

"Pengundi perlu membuat penilaian undi dengan penuh tanggungjawab kerana apa yang kita pilih itu bukan sahaja akan memberi kesan kepada diri, malah kepada seluruh masyarakat di luar sana dan negara.

"Ini kerana kesannya akan kita sama-sama hadapi selepas penilaian itu selesai dan tertubuhnya kerajaan," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk 'Setiakah Rakyat Malaysia?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat. Rancangan itu dihoskan oleh Asmaliza Mansor.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Haim berkata, negara memerlukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan tidak pernah berasa lelah untuk membantu rakyat yang lemah serta tidak berkemampuan.

Jelas beliau, golongan pemimpin yang dipilih nanti perlu melihat sudut penting tersebut sekiranya ingin membina sebuah negara yang maju dan berjaya, tidak hanya memberi tumpuan kepada golongan yang berupaya sahaja untuk diperkasakan.

Malah tegas beliau, kumpulan pemimpin seharusnya tidak mempunyai rasa lelah untuk terus membantu mereka yang lemah tanpa mengira bangsa dan agama, sebaliknya memastikan golongan itu diberikan ruang dan peluang sewajarnya.

Kata beliau, bagi memastikan semua hasrat tersebut tercapai, menjadi satu kepentingan buat rakyat untuk mengundi pemimpin yang berintegriti tinggi dan bebas rasuah.

Sehubungan itu menurutnya, menjadi satu kewajipan buat pengundi memilih kepimpinan yang bersih, amanah serta berusaha memastikan negara kekal makmur menerusi perkembangan ekonomi yang mampan.

Tambahnya, pemimpin yang beramanah dan berintegriti serta bebas rasuah adalah mereka yang mempunyai visi cukup jelas untuk membawa negara maju ke hadapan.

"Sebab itu, pemimpin yang baik adalah mereka yang sentiasa berusaha membuat apa jua keputusan bagi mencari redha ALLAH. Perkara ini sangat penting dan perlu ada dalam diri semua pemimpin negara.

"Berharap semua pemimpin yang telah kita pilih nanti adalah pemimpin-pemimpin yang sentiasa mendapat petunjuk dan ilham daripada ALLAH SWT untuk memimpin rakyat dan negara dengan baik.

"Kita mahu jiwa pemimpin yang suka kepada rakyat susah, berusaha membantu keluarga yang tercicir daripada pelbagai aspek dan golongan lemah untuk dibela, disantuni dan dibantu. Mereka yang mempunyai ciri-ciri ini akan menjadi pejuang negara," katanya.