Pulih lebih cepat, Pulih lebih hebat: Muhyiddin

A
A
A

No Image Caption

Majlis Pemulihan Negara (MPN) memainkan peranan besar dalam membantu negara bangkit kembali selepas berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Jika Malaysia mahu membina semula ekonominya dengan lebih baik, pemulihan yang sama rata perlu dilakukan supaya jurang pembangunan juga dapat dirapatkan.

Ikuti temu bual Sinar Harian bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai MPN sebagai pemangkin dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara selepas mendepani pandemik Covid-19.

SINAR HARIAN: Apakah peranan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan kenapa ia ditubuhkan?

MUHYIDDIN: MPN ditubuhkan semasa saya menjadi Perdana Menteri yang mulanya bertujuan merangka strategi untuk kita beralih keluar daripada pandemik. Kami telah merumuskan Pelan Pemulihan Negara untuk membenarkan peralihan yang sistematik dan selamat daripada wabak itu dalam empat fasa. Terdapat tiga ambang yang perlu dipenuhi dari satu fasa ke fasa lain iaitu bilangan kes harian, kadar vaksinasi dan kapasiti hospital yang tersedia.

Alhamdulillah, strategi ini membolehkan kami meningkatkan vaksinasi, mengurangkan jumlah jangkitan selain memastikan pembukaan semula ekonomi Malaysia dengan selamat secara berperingkat. Bagaimanapun, kami mengakui bahawa kesan wabak itu adalah teruk. Lockdown (sekatan pergerakan) telah menjejaskan ekonomi kita dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Lapan pakej rangsangan terakhir bernilai RM530 bilion yang dipanggil sebagai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) diumumkan pada akhir Jun 2021 dan dilaksanakan sehingga akhir tahun 2021. Pakej Pemulih itu sendiri yang bernilai RM150 bilion memberi fokus untuk meneruskan agenda kebajikan rakyat, membantu perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.

Apabila saya berundur sebagai Perdana Menteri, saya kekal sebagai Pengerusi MPN yang merupakan badan penasihat kepada kabinet mengenai perkara pemulihan negara. MPN terdiri daripada ahli kabinet kanan termasuk empat orang Menteri Kanan, Menteri Kewangan, Menteri Kesihatan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), pemimpin pembangkang, pemimpin perniagaan, pakar kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan sosial serta penjawat awam kanan.

Perbincangan kami mengenai pelbagai perkara yang menjejaskan pemulihan bukan sahaja kepada ekonomi. Cadangan telah dibentangkan dan dibincangkan oleh menteri, persatuan perniagaan dan pakar. Syor kemudiannya dibuat kepada kabinet malah lebih 90 syor telah dibuat.

Namun, seperti yang telah saya tegaskan sebelum ini, MPN adalah badan penasihat dan ia tidak mempunyai kuasa eksekutif. Sementara beberapa cadangan telah diambil tindakan seperti pembukaan semula sempadan tetapi banyak lagi yang tidak dilaksanakan walaupun telah disahkan oleh kabinet.

Tan Sri tegaskan bahawa ia bukan sahaja pemulihan ekonomi tetapi juga berkaitan sosioekonomi, apakah isu yang dibincangkan oleh MPN?

Artikel Berkaitan:

Isu yang dibincangkan adalah meluas, tetapi mengikut tema melibatkan industri terjejas, cabaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kekurangan pekerja asing, keperluan untuk meningkatkan sistem kebajikan sosial, generasi pelajar yang rugi akibat Covid-19, isu kesihatan mental dan kadar kemiskinan di negara ini. Seperti yang telah saya tegaskan, impak kepada ekonomi semasa Covid-19 adalah teruk dan kami perlu membetulkan perkara itu. Campur tangan diperlukan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi berada di landasan yang betul. Kami boleh membina semula lebih baik daripada tahap pra pandemik. Ia tidak cukup baik untuk kita kembali ke tahap sebelum 2020, kita sudah pun merosot ketika itu maka kita mesti membina semula untuk menjadi lebih kuat.

MPN telah melakukan beberapa siri sesi penglibatan dengan komuniti perniagaan, apakah isu utama yang diketengahkan?

Ya, kami telah menganjurkan siri sesi perjumpaan bukan sahaja di Lembah Klang tetapi di seluruh negara. Saya ke Langkawi, Melaka, Johor, Kelantan, Terengganu, bertemu dengan kumpulan belia, ahli akademik, NGO, persatuan perniagaan, dewan perniagaan bersama-sama memberi input dan berdialog terus terang mengenai isu dan cabaran yang dihadapi oleh kumpulan berbeza ini. Dalam perbincangan ini, salah satu maklum balas utama yang menyentuh saya ialah kesan pelaksanaan sistematik Pelan Pemulihan Negara dan program vaksinasi. Perniagaan, perniagaan asing dan domestik, memuji rancangan kami yang telus dan teratur serta kepantasan program vaksinasi kami yang membolehkan perniagaan ini dibuka semula dengan selamat.

Antara kata- kata yang dizahirkan kepada saya ialah: “Terima kasih Tan Sri, saya tak bungkus, tak buang pekerja, sebab saya ambil subsidi gaji masa Covid-19 untuk perniagaan saya.” Ini adalah tepat kerana kami telah membelanjakan RM15 bilion menerusi subsidi gaji untuk membantu 300,000 perniagaan yang kebanyakannya merupakan PKS dan menyelamatkan tiga juta pekerjaan. “Tan Sri, terima kasih, Bakul Makanan awak bagi, jadi bekal keluarga makan tiap-tiap malam.” Ini adalah betul, kami memberikan lebih RM50 juta untuk bakul makanan semasa ‘targeted lockdowns’ dan selepasnya.

Kami memberikan setiap ahli parlimen RM500,000 untuk bakul makanan. “Tan Sri, terima kasih dapat Bantuan Prihatin. Boleh beli lampin, susu anak.” Ini juga betul, kami memberikan RM22 bilion bayaran tunai secara langsung semasa pandemik dan memanfaatkan 10.1 juta penerima pemberian tunai. “Tan Sri, saya dapat vaksin saya hidup. Jiran saya tak dapat vaksin dia dah tiada.” Kami membelanjakan lebih RM5 bilion untuk mendapatkan vaksin 140 peratus daripada populasi dari awal kerana kami tahu kami berlumba dengan masa, pembelian tambahan bermakna kami boleh melakukan ‘booster’ lebih cepat dari negara lain.

Perniagaan milik asing amat bersyukur kerana mereka dapat melihat dan membandingkan dasar kami dengan dasar negara lain dan berterima kasih cara kami melaksanakan strategi keluar. Perniagaan tempatan juga menghargai kerana ia membolehkan mereka merancang dengan lebih berkesan stok mereka dan pekerja apabila mereka tahu kita bergerak secara progresif secara berperingkat. Dasar-dasar yang kerajaan ambil semasa saya menjadi Perdana Menteri semuanya telah sah sekarang. Tiga suku berturut-turut pertumbuhan ekonomi yang kita nikmati hari ini, semuanya disebabkan oleh dasar berani yang kita ambil untuk melindungi ekonomi dan membukanya semula secara sistematik melalui Pelan Pemulihan Negara (NRP).

Secara amnya, adakah Tan Sri berpuas hati dengan kadar pemulihan, kenapa?

Saya harap ia boleh menjadi lebih baik. Kadar pemulihan tidak sekata. Sesetengah sektor pulih lebih baik daripada yang lain. Itulah sebabnya saya selalu mengatakan bahawa kerajaan mesti campur tangan jika perlu. Kita memerlukan proses pemulihan yang seimbang supaya jurang perbezaan gaji rakyat Malaysia dapat dirapatkan. Negeri-negeri tertentu lebih bergantung kepada sektor tertentu sebagai contoh pelancongan dan pembuatan, pemulihan pelancongan lebih perlahan daripada pembuatan, negeri bergantung kepada pelancongan akan pulih lebih perlahan daripada negeri-negeri yang besar dalam sektor pembuatan.

Kadar pemulihan yang tidak sekata antara negeri akan melebarkan jurang pendapatan dan pembangunan antara negeri. Sebab itu saya telah menekankan tentang penubuhan Majlis Pemulihan Negara peringkat negeri sebelum ini. Jika Malaysia mahu membina semula ekonominya dengan lebih baik, kita mesti membenarkan pemulihan yang sama rata, supaya jurang pembangunan juga dapat dirapatkan.

Pemulihan bukan hanya untuk jangka pendek, tetapi ia juga mesti diselaraskan dengan matlamat pembangunan yang lebih panjang jika negara ini, seperti yang diketengahkan oleh Rancangan Malaysia Ke-12 untuk membina ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya tahan. Saya harap terdapat lebih banyak rasa untuk mendesak dalam kerajaan bagi menguruskan proses pemulihan. Ia tidak boleh menjadi perniagaan seperti biasa.

Saya telah mengatakan sebelum ini berkali-kali. Kita perlu melihat gambaran yang lebih besar. Jika kita tidak menguruskan proses pemulihan dengan baik, kesan pandemik akan berlarutan lebih lama. Akan ada parut kekal dalam beberapa sektor ekonomi. Apabila pemulihan tidak diberi keutamaan yang sewajarnya, saya khuatir bahawa dua tahun wabak itu akan membawa kepada satu dekad yang hilang untuk Malaysia.