'Ketepikan rasa tidak puas hati, bantu menangkan BN'

Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (tengah) ketika menyampaikan watikah kepada 14 calon Parlimen BN di Pejabat Penerangan UMNO Kelantan
Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (tengah) ketika menyampaikan watikah kepada 14 calon Parlimen BN di Pejabat Penerangan UMNO Kelantan
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua UMNO Bahagian Kelantan yang tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan terus memberikan komitmen membantu memenangkan BN.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, komitmen itu bukan hanya dizahirkan di peringkat atau kawasan tertentu tetapi meliputi keseluruhan kawasan Parlimen dengan bantuan jentera parti.

"Mereka (ketua bahagian) akan turut keluar untuk menyertai taklimat dan berkempen sebelum hari pengundian. Situasi ini jelas menunjukkan kelebihan yang ada pada BN dalam menjaga hubungan baik walaupun tidak lagi bertanding.

"Saya yakin rakyat mahu melihat kerajaan yang stabil serta kukuh demi masa depan negara dan BN mempunyai kriteria terbabit. Insya-ALLAH kita boleh memenangi lebih lima kerusi pada PRU15 kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah kepada 14 calon Parlimen BN di Pejabat Penerangan UMNO Kelantan pada Jumaat.

Seramai lapan calon baharu diketengahkan BN Kelantan dalam PRU15 termasuk Parlimen Ketereh, Kubang Kerian, Jeli, Pengkalan Chepa, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat.

Ahmad Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang menyeru seluruh jentera BN untuk bekerja bersungguh-sungguh, selain mengenepikan rasa tidak puas hati kerana yang penting pada ketika ini ialah kehendak rakyat.

"UMNO mempunyai tokoh yang ramai, justeru kelebihan ini kita akan gunakan untuk dipersembahkan kepada rakyat dalam mengurus tadbir negara dengan baik.

"Impaknya, rakyat dapat merasai kestabilan dan keamanan dalam negara," katanya.

Artikel Berkaitan: