PRU15: BN yakin Che Abdullah menang di Tumpat

Ahmad Jazlan (tiga dari kiri) bersama Che Abdullah (dua dari kanan) dan calon-calon BN pada Majlis Penyerahan Watikah Calon BN Kelantan di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di Kota Bharu, pada Jumaat.
Ahmad Jazlan (tiga dari kiri) bersama Che Abdullah (dua dari kanan) dan calon-calon BN pada Majlis Penyerahan Watikah Calon BN Kelantan di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di Kota Bharu, pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - BN Kelantan percaya calon Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi akan menang di kerusi tersebut walaupun bertanding menggunakan simbol dacing pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Che Abdullah yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Tumpat memenangi kawasan tersebut pada PRU14 sebagai calon Pas.

Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, jentera BN Tumpat telah memberikan kesanggupan untuk berkempen bermati-matian bagi memastikan kemenangan menjadi milik Che Abdullah.

Menurut beliau, penyertaan Che Abdullah dalam BN adalah secara 'Direct Membership' dan perjuangan beliau dalam PRU15 akan disokong sepenuhnya jentera BN.

"Kami yakin Che Abdullah akan menang di kerusi tersebut walaupun bertanding menggunakan tiket BN.

"Untuk isu berkaitan Che Abdullah dipecat Pas, saya tidak boleh memberi sebarang pandangan dan soal keahliannya dalam parti BN kita akan bincangkan selepas PRU15," katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon BN Kelantan di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di sini, pada Jumaat.

Media tempatan sebelum itu melaporkan Che Abdullah dipecat serta-merta daripada Pas.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Che Abdullah yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan dikenakan tindakan disiplin kerana menjadi calon BN bagi Parlimen Tumpat pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14, Che Abdullah menewaskan calon BN dan PKR dengan majoriti 17,500 undi.

Che Abdullah mendapat undi sebanyak 47,041 manakala Datuk Wan Johani Wan Hussin (BN) memperoleh 29,541 undi dan Datuk Nordin Salleh (PKR) hitang deposit selepas meraih 10,003 undi.