Kalah atau menang, Megat Zulkarnain tetap ada di Gombak

Megat Zulkarnain berucap di hadapan ribuan penyokong BN Gombak pada Khamis.
Megat Zulkarnain berucap di hadapan ribuan penyokong BN Gombak pada Khamis.
A
A
A

GOMBAK - Menang atau kalah, saya akan kekal berada di Gombak dan terus berikan perkhidmatan kepada rakyat Gombak, kata calon BN Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Ketua UMNO Bahagian Gombak itu berkata, walaupun bakal bersaing dengan nama besar, misi tawan Gombak adalah tidak mustahil kerana mempunyai sokongan padu daripada warga Parlimen itu.

Bagaimanapun beliau mengingatkan jentera BN supaya berkempen secara berdisiplin dan berhemah serta tidak bermusuh dengan Pas yang telah dianggap bersaudara.

"Tunjukkan kita adalah parti yang mendukung kepada keluhuran perlembagaan, yang menghormati undang-undang.

"Walau apapun keputusan Pas di peringkat pusat, bagi saya Pas masih bersaudara dengan kita.

"Jangan ada pertelingkahan bahu, kalau boleh kita ziarah-menziarahi antara khemah masing-masing. Jangan kita putuskan tali silaturahim yang telah kita bina hanya kerana keputusan di peringkat yang lain," katanya pada pelancaran jentera BN di Gombak pada Khamis.

Pada program sama, anak jati Gombak itu turut membidas pihak yang melabel BN mahupun UMNO sebagai penyamun dan kaki sakau.

Tegas Megat Zulkarnain, beliau dilahirkan dalam keluarga yang tahu menjaga harga diri dan tidak pernah mengambil kesempatan mendapatkan projek daripada menteri.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak pernah jejak kaki ke pejabat menteri minta projek. Selama saya mengenali Datuk Seri Najib Tun Razak, hanya sekali saya minta peruntukan untuk bina jejantas buat anak-anak yang dilanggar di depan sekolah.

"Jangan ingat orang UMNO penyamun dan sakau...Belum tentu kamu adalah orang yang baik dari segi moral dan akhlaknya," katanya.

Beliau juga mengingatkan jentera parti tidak campur tangan pergolakan dan masalah dalam parti lain sebaliknya fokus kepada gerak kerja serta melihat apa yang boleh ditawarkan kepada rakyat Gombak

"Jika diberi kepercayaan, saya berjanji akan lakukan yang terbaik buat rakyat Gombak. Beri kami peluang sekali dan lihat apa yang BN boleh buat di Gombak.

"Kita tunjukkan hanya BN yang boleh menjadi kepimpinan terbaik dalam Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.

Kerusi Parlimen Gombak bakal menyaksikan persaingan sengit antara penyandang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Perikatan Nasional) dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Megat Zulkarnain (BN).