PRU15: Simon tekad pertahan kubu kuat PKR di Alor Setar

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Alor Setar, Simon Ooi Tze Min (dua,kiri) beramah mesra dengan penduduk ketika sesi walkabout di Pasar Simpang Kuala, di sini, pada Jumaat.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Alor Setar, Simon Ooi Tze Min (dua,kiri) beramah mesra dengan penduduk ketika sesi walkabout di Pasar Simpang Kuala, di sini, pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Alor Setar, Simon Ooi Tze Min tekad melakukan terbaik bagi mempertahankan kerusi Parlimen itu yang merupakan kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang memberitahu, PKR telah memenangi kerusi Parlimen Alor Setar untuk dua penggal, iaitu 2013 dan 2018.

"Kita yakin boleh mempertahankan Parlimen Alor Setar, yang kita telah menang sejak tahun 2013 dan 2018. Pada masa sama, kita tidak memandang ringan bahawa kita perlu memenuhi hasrat penduduk dan pengundi.

"Kita bukan hanya meyakinkan pengundi untuk menyokong kita kerana isu nasional ataupun dari segi parti, namun kita juga menawarkan perkhidmatan terbaik untuk penduduk," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pemberita selepas walkabout bersama calon PH dan ADUN Kota Darul Aman, Teh Swee Leong di Pasar Simpang Kuala pada Jumaat.

Simon berkata, pihaknya akan memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan membantu menyelesaikan masalah di kawasan terlibat.

"Walaupun saingan lima penjuru dijangka berlaku di sini (Parlimen Alor Setar) tapi saya tak gentar teruskan perjuangan ini.

"Saya nampak persaingan akan sengit disebabkan berlaku pertembungan banyak penjuru dengan situasi pengundi atas pagar. Persaingan pasti sengit kerana semua parti akan bekerja kuat untuk hantar calon terbaik," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, menurut Naib Pengerusi PKR Kedah itu, PH akan memberikan perkhidmatan terbaik sekali gus turut memberi saingan hebat kepada calon lain.

Simon berkata, kelebihannya sebagai ADUN Bakar Arang daripada tahun 2013 hingga sekarang dilihat mampu meyakinkan pengundi untuk memilihnya pada PRU15 nanti.

Tambah Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu, beliau juga memiliki pengalaman sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah dari 2018 hingga 2020 yang tidak ada pada kebanyakan calon lain di kerusi ditandingi itu.

Simon berkata, beliau mendapati penduduk di Parlimen Alor Setar memberi reaksi positif kepada dirinya ketika sesi walkabout ketika memperkenalkan calon.