Janna Nick luah rasa kesal

Janna Nick - Foto SHARIFUDIN ABD RAHIM
A
A

PELAKON berbakat besar, Janna Nick meluahkan rasa kesal kerana terpaksa menolak tawaran berlakon dalam sebuah filem aksi.

Menurut pemenang Aktres Pilihan di Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL) itu, pertindihan jadual membuatkan dia terpaksa mengenetepikan impiannya.

"Saya sudah menyimpan impian untuk mencuba nasib di layar perak pula selepas beberapa tahun berlakon drama.

"Kiranya sebagai pelakon, ia seperti satu anjakan buat saya dan ada juga tawaran yang datang.

"Tapi sayangnya saya terpaksa tolak kerana terikat dengan komitmen lain yang sudah dikunci lebih awal," ujarnya ketika ditemui di DFKL2019, baru-baru ini.

Tambah Janna, biarpun perlu memberikan komitmen yang lebih panjang sekiranya terikat dengan penggambaran filem, dia tidak kisah, lebih-lebih lagi jika tawaran itu adalah bergenre aksi.

"Memang dah lama saya menyimpan impian untuk menjayakan babak aksi dan saya sedia memberi komitmen dua hingga tiga bulan sekiranya perlu untuk sesi latihan.

"Tapi sekiranya jadual penggambaran itu bertindih, saya terpaksa tolak," jelasnya.

- Foto INSTAGRAM Janna Nick
- Foto INSTAGRAM Janna Nick

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangannya pada DFKL2019 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Ahad lalu, Janna berkata, dia pada mulanya menjangkakan Amyra Rosli akan membawa pulang trofi Aktres Pilihan disebabkan kemenangan besar Nur pada malam itu.

Malah lucunya, aktres berusia 24 tahun ini sudah mengucapkan tahniah terlebih dahulu pada Amyra ketika senarai pencalonan diumumkan.

"Selepas satu persatu anugerah dimenangi oleh team produksi drama Nur, saya sangka Amyra juga akan menang untuk kategori Aktres Pilihan.

"Malah saya sendiri tak letak harapan untuk menang kategori ini dan terkejut apabila nama saya diumumkan.

"Jadi kredit harus diberikan pada peminat saya yang tidak putus mengundi saya dan sekali gus membuatkan saya memenangi trofi ini untuk tahun ketiga," ujarnya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia