Khairy usaha jumpa pengundi Sungai Buloh

Khairy ketika hadir pada Program Kesedaran Gelombang Covid-19 di Kompleks PERHEBAT Sungai Buloh di sini pada Jumaat.
Khairy ketika hadir pada Program Kesedaran Gelombang Covid-19 di Kompleks PERHEBAT Sungai Buloh di sini pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Bakal calon Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin bersedia untuk bertemu dengan pengundi di kawasan itu sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Beliau yakin dengan sokongan jentera Barisan Nasional (BN) mampu menawan pengundi di kawasan berkenaan.

"Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjumpa dengan pengundi di Sungai Buloh sewaktu kempen.

"Banyak perkara akan saya sentuh pada manisfesto untuk Sungai buloh yang akan dilancar pada minggu hadapan,"katanya pada sidang akhbar Program Kesedaran Gelombang Covid-19, Kompleks PERHEBAT Sungai Buloh di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengatakan kerusi Parlimen Sungai Buloh adalah kerusi selamat buat penyandang Ahli Parlimen Rembau itu.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai pengisytiharan harta bakal calon, Khairy berkata kebiasaannya perkara itu hanya dibuat selepas lantikan jemaah menteri.

Beliau sebelum ini pernah mengisytiharkan harta sewaktu menjawat jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Bagi pengisytiharan harta, kita buat semasa lantikan ke jemaah menteri dan saya pun dah mengisytiharkan harta ke SPRM.

Artikel Berkaitan:

“Perkara tersebut juga telah dipaparkan di dalam website (laman sesawang) SPRM sewaktu saya dilantik menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kerajaan yang lepas,” katanya.

Semalam, calon Parlimen Pandan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Pengisytiharan itu dibuat susulan syarat PKR supaya calonnya dalam PRU15 berbuat demikian.

Khairy yang juga Menteri Kesihatan turut menasihati individu yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19 agar segera berbuat demikian susulan peningkatan jangkitan kes virus itu sejak kebelakangan ini.

Beliau mengingatkan orang ramai serta bakal calon yang akan bertanding jika mengalami sebarang gejala atau kontak rapat agar melakukan ujian kendiri dan melaporkannya di MySejahtera.

"Nasihat saya kepada calon bergejala buatla ujian, tiba-tiba batuk sakit tekak, demam, calon atau orang biasa untuk buat 'test',"katanya.