Fathin Amelina optimis cipta kejutan di Arau

Fathin Amelina (kiri) dan Nurul Izzah bermesra dengan pelanggan di Kedai Ikan Bakar Sempadan di sini pada Khamis.
Fathin Amelina (kiri) dan Nurul Izzah bermesra dengan pelanggan di Kedai Ikan Bakar Sempadan di sini pada Khamis.
A
A
A

ARAU – Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Arau, Fathin Amelina Fazlie mengakui gentar berdepan lawan ‘heavyweight’ namun optimis mampu membuat kejutan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut calon berusia 28 tahun itu, beliau perlu menyusun strategi mendekati pengundi di Parlimen Arau bagi memperkenalkan diri sebagai calon muka baharu.

“Saya perlu menggunakan pendekatan berbeza untuk golongan muda dan berusia. Bagi golongan muda, saya menggunakan media sosial untuk mendekati mereka.

Bagaimanapun, saya merasakan memperkenalkan diri dari tempat ke tempat dan berkunjung rumah ke rumah lebih berkesan dan bersasar.

“Jadi saya akan berjumpa dengan seramai mungkin pengundi dengan bantuan jentera pilihan raya PH pada PRU15 ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian dalam program Jelajah Arau bersama Fathin Amelina dan Nurul Izzah pada Khamis.

Turut hadir dalam program itu ialah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis, Nurul Izzah Anwar.

Fathin Amelina dijangka akan bertembung dengan penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengumumkan akan bertanding menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Rozabil Abd Rahman (BN).

Ditanya mengenai manifestonya, Fathin Amelina memberitahu, beliau akan menfokuskan mengenai taraf hidup, kebajikan dan pendidikan.

Artikel Berkaitan:

PH mempertaruhkan Fathin Amelina yang sedang menyelesaikan dalam pengajian Ijazah Doktor Falsafah (Sosial Sains) di Universiti Malaya untuk bertanding di kerusi panas itu.

Dari segi latar pendidikan, Fathin Amelina yang juga Pengarah Komunikasi PKR Cabang Padang Besar mempunyai Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perancangan dan Pembangunan dengan Kepujian dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Selain itu juga, beliau turut memperoleh Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya.