RM70,000 baik pulih jeti nelayan di Kuala Selangor

Tengku Zafrul (tiga dari kanan) beramah-mesra bersama penduduk pada Sesi Sembang Santai dan Sumbangan Bantuan kepada Nelayan Kuala Selangor di Jeti Nelayan Tanjung Keramat di sini pada Khamis.
Tengku Zafrul (tiga dari kanan) beramah-mesra bersama penduduk pada Sesi Sembang Santai dan Sumbangan Bantuan kepada Nelayan Kuala Selangor di Jeti Nelayan Tanjung Keramat di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebanyak RM70,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan di tujuh jeti nelayan sekitar Kuala Selangor.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerja-kerja projek naik taraf itu dijangka bermula dalam waktu terdekat.

"Peruntukan ini telah tersedia dan kita menganggarkan ada jeti yang memerlukan kos lebih tinggi, namun untuk permulaan kita menyediakan peruntukan sebanyak RM10,000," katanya semasa sidang akhbar selepas Sesi Sembang Santai dan Sumbangan Bantuan kepada Nelayan Kuala Selangor di Jeti Nelayan Tanjung Keramat di sini, pada Khamis.

Tengku Zafrul yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor memberitahu, kebanyakan jeti terbabit dalam keadaan uzur dan kurang selamat kepada nelayan.

Jelas beliau, terdapat keperluan untuk tujuh jeti itu diselenggara dan dinaik taraf daripada pembaikan kecil sehinggalah ke projek naik taraf yang memerlukan kos besar serta kajian dan kelulusan daripada agensi berkaitan di peringkat negeri Selangor dan persekutuan.

Sebagai contoh, keadaan Jeti Tanjung Keramat di sini walaupun strukturnya konkrit, namun ia memerlukan pembaikan segera terutama dalam keadaan lantai yang tidak kukuh disebabkan banjir dan sebagainya," jelas beliau.

Beliau memberitahu, pada masa ini, jeti nelayan bukan sahaja dilihat sebagai tempat pendaratan hasil laut, sebaliknya berpotensi untuk dijadikan sebagai lokasi tumpuan pelancong.

"Saya difahamkan ramai juga masyarakat di sini menerima kehadiran pelawat yang bukan sahaja hendak memancing tetapi ingin mengetahui kehidupan nelayan," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, masyarakat di kawasan itu diharap dapat merebut peluang yang ada di kawasan mereka bagi menambah pendapatan dan merancakkan lagi sosio ekonomi penduduk.

Dalam pada itu, ujar Tengku Zafrul, rata-rata nelayan berharap kerajaan yang dipilih nanti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meneruskan bantuan sara hidup nelayan.

"Sudah tentu ini akan diperjuangkan BN yang dalam pembentangan Bajet pada 2023 akan meneruskan elaun sara hidup bulanan nelayan darat sebanyak RM250 dan RM300 kepada nelayan laut," ujarnya.