BN Kedah pertaruh sembilan muka baharu, empat calon wanita

Jamil Khir (enam dari kiri) bersama 15 calon BN selepas menyerahkan watikah calon untuk bertanding pada PRU15.
Jamil Khir (enam dari kiri) bersama 15 calon BN selepas menyerahkan watikah calon untuk bertanding pada PRU15.
A
A
A

ALOR SETAR - BN Kedah mempertaruhkan sembilan muka baharu selain menampilkan empat calon wanita untuk merebut kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusi Badan Perhubungan BN Kedah, Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom berkata, keunikan komposisi calon kali ini lebih diyakini untuk menambah sasaran 10 kerusi untuk dimenangi berbanding hanya dua kerusi di Padang Terap dan Baling pada PRU14 lalu.

Menurutnya, daripada keseluruhan 15 calon Parlimen, 13 wakil adalah daripada UMNO, manakala satu kerusi masing-masing diwakili parti komponen daripada MCA dan MIC.

“Daripada 15 calon, sembilan muka baharu merupakan kali pertama bertanding di kawasan Parlimen, yang mewakili 60 peratus.

Mereka ialah Datuk Armishah Siraj di Parlimen Langkawi; Datuk Muhar Hussain (Kulim/Bandar Baharu); Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin (Merbok); Datuk Hasmuni Hasan (Kubang Pasu); Noran Zamani Jamaludin (Pokok Sena); Tan Chee Hiong (Alor Setar) serta Datuk C Selvaraj (Padang Serai),” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan watikah calon-calon Parlimen Kedah di sini pada Khamis.

Jamil Khir berkata, BN Kedah turut memperkasakan peranan wanita apabila meletakkan empat calon wanita untuk bertanding dalam PRU15 berbanding hanya seorang calon wanita pada PRU14.

“Calon wanita kali ini mewakili 30 peratus. Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaakob di Parlimen Pendang; Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Yusof (Sungai Petani), Ketua Wanita UMNO Bahagian Sik, Maizatul Akmam Othman (Sik) serta Datuk Dr Mashitah Ibrahim (Kuala Kedah),” katanya.

Dua penyandang masing-masing di kerusi Parlimen Padang Terap dan Baling, iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Azeez Rahim dikekalkan di kawasan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Calon lain termasuk Jamil Khir di Jerai dan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz di Jerlun.

Menurutnya, kesemua calon mempunyai kelayakan pendidikan di peringkat pengajian tinggi sehingga ke peringkat tertinggi iaitu Doktor falsafah (PhD).

Kepelbagaian latar belakang pendidikan menunjukkan calon yang diketengahkan memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang, antaraya undang-undang, pengurusan ekonomi Islam, sains politik, pengurusan perniagaan serta sains komputer.

“Lima calon pernah menjawat jawatan di peringkat Persekutuan sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan Senator. Manakala tiga calon pernah menjawat jawatan di peringkat negeri sebagai Menteri Besar dan Exco negeri.

"Kesemua calon mempunyai pengalaman pentadbiran yang cukup baik sama ada di peringkat negeri mahupun nasional,” ujarnya lagi.

Jamil Khir berkata, berdasarkan senarai akhir calon yang dimuktamadkan itu, BN Kedah yakin mampu mencapai sasaran memenangi 10 kerusi seperti yang diumumkan lebih awal sebelum ini.

“Kita ada lakukan kajian dan pengiraan sebagai pertimbangan untuk letakkan sasaran tersebut, ia tidak beri bebanan kepada kita.

"Sekiranya menepati calon yang diketengahkan selain pendekatan berkempen yang berkesan, saya percaya pengundi akan kembali memilih BN. Ia satu sasaran kerusi yang relevan dan boleh dicapai,” katanya.

Mengulas sama ada terdapat protes terhadap calon yang dipilih, kata beliau, semua kepimpinan Bahagian parti itu menerima keputusan dengan baik setelah diputuskan di peringkat Pusat.

“Dalam mana-mana PRU sekalipun, ada orang pilihan yang tidak terpilih sebagai calon. Saya ibaratkan UMNO seperti penyu di Rantau Abang, selepas bertelur dia pergi merata tetapi apabila sampai masa untuk bertelur akan balik ke Rantau Abang, dan dia tak tersilap langkah ke pulau lain.

“Begitu juga dalam UMNO, kalau ada yang terluka hati akan kembali sedar dan pulang ke pangkuan parti,” katanya.

Pada PRU kali ini, UMNO Kedah turut mengetengahkan calon payung terjun dari kawasan Baling untuk diletakkan di Parlimen Kuala Kedah, iaitu Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Jamil Khir bagaimanapun yakin tidak akan berlaku protes terhadap calon berkenaan, malah diyakini dapat membantu parti untuk menambah bilangan kerusi di Parlimen.

“Saya sudah jumpa semua pimpinan Bahagian, saya maklumkan Pusat yang tentukan beliau diletakkan di Kuala Kedah dan mungkin ada keperluan untuk berbuat begitu. Macam dalam bola sepak, kadang-kadang ada keperluan bawa pemain import untuk merubah suasana pasukan untuk lebih cemerlang,” katanya lagi.