Pernama laksana penurunan harga produk jualan

Hishammuddin - Foto Bernama
Hishammuddin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertahanan (Mindef) melalui Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) akan melaksanakan inisiatif penurunan harga produk jualan di semua 93 kedai Pernama di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelaksanaan inisiatif itu bagi membantu meringankan beban perbelanjaan seharian warga pertahanan.

"Menerusi inisiatif ini, penurunan harga yang ditawarkan adalah sehingga 48 peratus bagi makanan dan barangan keperluan asas seharian, manakala sehingga 90 peratus bagi keperluan persekolahan anak-anak warga pertahanan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Antara produk makanan dan barang keperluan asas di kedai Pernama selepas diturunkan harga ialah susu formula bayi RM21.49, tuala wanita (RM3.09), sardin (RM6.99), tepung (RM2.49) dan beras 10 kilogram (RM25).

Hishammuddin berkata, produk makanan dan barang keperluan asas yang disenaraikannya itu hanya sebahagian daripada kira-kira 200 produk jualan di kedai Pernama yang diturunkan harga.

"Dengan ini, warga pertahanan boleh menikmati penjimatan lebih besar terutama apabila mereka membuat pembelian dalam satu troli," ujarnya.

Hishammuddin memaklumkan Pernama turut akan melaksanakan penurunan harga bagi pakaian seragam sekolah.

"Warga pertahanan boleh membeli pakaian seragam sekolah untuk anak masing-masing pada harga hanya RM5 bagi seluar dan RM5 bagi baju.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, inisiatif penurunan harga di kedai Pernama yang akan dilaksanakan sebagai Jualan Akhir Tahun ini berkuat kuasa serta merta bermula hari ini sehingga 31 Disember 2022," katanya.

Beliau juga mengingatkan Pernama supaya memastikan barang-barang yang diturunkan harga mempunyai stok mencukupi supaya penjimatan ini benar-benar dapat dinikmati manfaatnya oleh warga pertahanan.

"Sehubungan itu, kepimpinan Mindef akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa," tegasnya.