Kelibat Christopher, Subkhiddin di Piala Dunia Qatar

Subkhiddin (kiri) dan Christopher akan membawa nama Malaysia di Piala Dunia Qatar. - Foto Agensi
Subkhiddin (kiri) dan Christopher akan membawa nama Malaysia di Piala Dunia Qatar. - Foto Agensi
A
A
A

KEHANGATAN Piala Dunia 2022 akan turut dirasai di Malaysia apabila dua pegawai akan bertugas menguruskan perlawanan berprestij di Qatar pertengahan bulan ini.

Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj dan bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh.

Ia akan menjadi tugasan kedua buat mereka di saingan Piala Dunia selepas turut terlibat pada Piala Dunia Rusia 2018 yang lalu.

Kejohanan itu akan berlangsung di lapan venue termasuk Stadium Lusail, Stadium Al Janoub, Stadium Al Thumama, Stadium Al Bayt, Stadium 974 dan Stadium Ahmad Bin Ali.

Tugasan pertama Christopher selaku pegawai media akan bermula dengan aksi membabitkan perlawanan pembukaan kumpulan G di antara Switzerland dan Cameroon di Stadium Al Janoub.

Christopher akan turut bertugas bagi sembilan lagi perlawanan di negara timur tengah itu.

Sebelum ini, beliau pernah bertugas sebagai pegawai media untuk Piala Dunia Rusia 2018 selain Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) India (2017), Piala Asia di Australia 2015 dan Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2019.

Dalam pada itu, Subkhiddin pula akan berkhidmat buat kali keempat di pentas Piala Dunia selepas ditugaskan buat kali pertama selaku pegawai keempat di Afrika Selatan pada 2010.

Artikel Berkaitan:

Beliau kemudiannya terlibat dengan Piala Dunia Brazil 2014, dan Rusia 2018 sebagai Instruktur Teknikal Pengadil.

Subkhiddin yang juga merupakan Tenaga Pengajar Teknikal Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Korea akan bertanggungjawab di dalam merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal dan menganalisis prestasi pengadil.

Beliau juga berperanan memberi penjelasan teknikal kepada para pemain dan pegawai pasukan bertanding serta memberi maklum balas mengenai prestasi pengadil sepanjang kejohanan.

Mereka dijadualkan berlepas ke Qatar pada 10 November dan akan pulang ke tanah air selepas tamat Piala Dunia.