Calon BN Kuala Nerus dijangka dimuktamadkan petang ini

Ahmad Said ketika sidang akhbar selepas menyampaikan watikah pencalonan kepada tujuh calon BN bagi kerusi Parlimen di Pejabat UMNO Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, pada Khamis.
Ahmad Said ketika sidang akhbar selepas menyampaikan watikah pencalonan kepada tujuh calon BN bagi kerusi Parlimen di Pejabat UMNO Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Teka-teki mengenai calon BN yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus bakal terjawab apabila parti itu dijangka mengumumkan calon kerusi terbabit pada petang Khamis.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pengumuman itu sekali gus melenyapkan desas-desus yang bertiup kencang mengenai calon yang akan dipertaruhkan di kerusi berkenaan.

"Kita masih belum tahu lagi tapi kita jangka menjelang petang ini akan dapatlah keputusan muktamad," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan watikah pencalonan kepada tujuh calon BN bagi kerusi parlimen di Pejabat UMNO Negeri Terengganu pada Khamis.

Ahmad bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut siapa yang akan mengumumkan dan di mana pengumuman itu dibuat.

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang bahawa bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus BN pada pilihanraya ini.

Bagaimanapun, difahamkan pemilihan Khairuddin itu dijangka menimbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli dan pemimpin UMNO di Parlimen berkenaan yang mahu pemimpin mereka dipilih sebagai calon.

Selain Mohd Khairuddin, dua nama turut disebut-sebut sebagai calon BN di Parlimen berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusoff.

BN pada Selasa mengumumkan nama-nama calonnya yang akan bertanding pada PRU15 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Artikel Berkaitan: