PRU15: BN Perlis yakin menang semua 18 kerusi

Azlan Man
Azlan Man
A
A
A

KANGAR – BN Perlis yakin menang kesemua tiga kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Azlan Man berkata, keyakinan itu berdasarkan gerak kerja yang dilakukan gabungan itu secara berterusan dalam berkhidmat kepada rakyat Perlis.

“Kita punya gerak kerja bukan seperti menjaga dusun durian. Jaga dusun durian ini, datang hanya apabila durian berbuah.

“Tapi berbeza dengan apa yang dilakukan UMNO dan BN, kita punya gerak kerja bersifat seperti menjaga kebun harum manis. Menjaga kebun harum manis ini kena setiap masa, tak boleh berhenti.

“Itu yang dilakukan oleh UMNO dan BN dalam gerak kerja, ini membuktikan kepada rakyat bahawa kita bukan hanya semata-mata datang ketika pilihan raya. Tidak sama seperti parti-parti lain yang hanya sibuk apabila musim pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Watikah Calon BN Perlis di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Azlan memberitahu, keputusan meletakkan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan di kerusi Parlimen Padang Besar itu dibuat adalah kerana BN yakin kebolehan calon itu untuk menang.

“Di peringkat akar umbi akan bekerja lebih kuat untuk memastikan kemenangan calon ini.

“Pemilihan Zahida adalah kerana kita melihat dan menilai secara keseluruhan. Jadi kita melihat bukan sahaja dari sudut Parlimen (Padang Besar), negeri itu sahaja tetapi seluruh Malaysia. Ini (calon luar) bukan sesuatu yang baru.

Artikel Berkaitan:

“Banyak sebelum ini, calon dari tempat lain datang dan bertanding di tempat lain seperti yang berlaku dalam Pas, PH (Pakatan Harapan). Jadi bukan sesuatu luar biasa untuk calon-calon dari BN tapi tidaklah sehebat pertukaran tempat bertanding yang dibuat parti-parti lain,” ujarnya.

BN Perlis mengemukakan lapan muka baharu pada PRU15 membabitkan tiga kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain Zahida, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya juga merupakan calon baharu di Parlimen Kangar manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Destini Berhad, Datuk Rozabil Abdul Rahman dicalonkan di Parlimen Arau.

Muka baharu bagi kerusi DUN pula ialah Syed Atif Syed Abu Bakar (Pauh), Saiful Danial Mohd Yusof (Sena), Lim Weng Khee (Indera Kayangan), Kamaruddin Malek (Kuala Perlis) dan Sharipudin Ahmad (Sanglang).