Akar umbi sokong Rozabil di Arau

Dari kiri : Mohd Noor Jasmin,Mohd Samsudin dan Muhamad Syaiful
Dari kiri : Mohd Noor Jasmin,Mohd Samsudin dan Muhamad Syaiful
A
A
A

ARAU - Pencalonan Datuk Rozabil Abdul Rahman sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disambut baik di peringkat akar umbi UMNO terutamanya dalam kalangan orang muda.

Ahli UMNO Bahagian Arau, Mohd Noor Jasmin Abdul Samad, 34, berkata, Rozabil atau lebih dikenali sebagai Tok Ben bukanlah nama asing dalam kalangan penduduk di sini.

"Sejak saya menjadi ahli UMNO, beliau menjawat jawatan kepimpinan di (UMNO) Bahagian Arau.

"Beliau banyak membantu penduduk setempat menerusi program-program anjuran Bahagian Arau," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, seorang lagi ahli, Muhamad Syaiful Abd Ghani, 26, memberitahu, dia yakin kepimpinan Tok Ben di kawasan Parlimen ini akan membawa pembangunan yang lebih baik dari segi ekonomi, pendidikan, sosial.

"Kami menyokong Tok Ben yang dicalonkan pada PRU15 ini. Kami harap, beliau dapat menumpukan beberapa perkara seperti isu peluang pekerjaan dan mewujudkan pusat latihan kemahiran untuk manfaat di kawasan ini," ujarnya.

Bagi Mohd Samsudin Che Nayan, 38, pula sentiasa akan menyokong calon yang ditentukan BN pusat.

Artikel Berkaitan:

"Tok Ben begitu dekat di hati kami terutama dalam kalangan ahli Pemuda Arau," katanya.

Sementara itu, suri rumah yang mahu dikenali sebagai Aisyah, 60, menyifatkan Tok Ben merupakan pemimpin yang baik dan berkaliber.

"Beliau seorang yang baik tapi ramai dalam kalangan kami (ahli Pergerakkan Wanita Bahagian Arau), berasa sedikit terkilan apabila beliau terus menyepi selepas PRU14.

"Pada masa sama, kami berada dalam dilema kerana Datuk Seri Shahidan Kassim (penyandang kerusi Parlimen Arau) juga seorang wakil rakyat yang sangat baik dan sentiasa menjaga kebajikan penduduk Arau tanpa mengira parti," ujarnya.