Bekas pensyarah yakin saingi Noraini di Parit Sulong

Abdul Karim, Zanariyah
Abdul Karim, Zanariyah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Parit Sulong, Dr Abdul Karim Deraman, 64, optimis mampu menewaskan calon nama besar atau 'heavyweight' daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Abdul Karim yang pernah berkhidmat selama 36 tahun sebagai pensyarah di Fakulti Sains dan Jabatan Fizik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dan merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor bersyukur kerana diberikan kepercayaan serta dipilih sebagai calon.

"Saya tidak minta untuk dicalonkan tetapi pucuk pimpinan telah memilih saya. Di dalam Pas kami tidak pernah berebut jawatan atau mahu menjadi calon.

"Apabila diumumkan bertanding di Parit Sulong, saya terima dan menganggap ia satu pengiktirafan sepanjang pembabitan di dalam parti.

"Saya yakin dengan gerak kerja dan sokongan ahli serta rakan dari PN akan dapat mengalahkan calon 'heavyweight' dari BN iaitu, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang juga Menteri Pengajian Tinggi," katanya.

Abdul Karim diumumkan sebagai empat calon Pas bagi PN di Johor oleh Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin di Pejabat Pas Johor di Bandar Baru Uda di sini pada Rabu.

Tiga lagi calon diumumkan ialah Abdullah yang juga Naib Pengerusi PN Johor bertanding di Muar, Mohd Nazari Mokhtar di Parlimen Tenggara dan Zanariyah Abdul Hamid di Sri Gading.

Sementara itu, Zanariyah, 52, menyifatkan pemilihan dirinya bukti Pas dan PN tidak meminggirkan wanita.

Artikel Berkaitan:

Zanariyah merupakan bekas pegawai optometri di sebuah hospital kerajaan berazam mahu memberikan yang terbaik bagi memastikan kemenangan parti di Sri Gading.

"Saya kini mengusahakan pusat optometri di Parit Raja, Batu Pahat. Saya juga aktif dalam Pas sebagai Ketua Jabatan Keahlian Pas Kawasan Sri Gading dan Pengarah Jentera J12K Dewan Muslimat Pas Johor.

"Saya akan mendekati lebih ramai pengundi daripada pelbagai peringkat usia termasuk golongan muda menerusi media sosial," katanya.