Tengku Zafrul sertai UMNO sejak usia 24 tahun

Tengku Zafrul (empat kanan) bersama kepimpinan BN Kuala Selangor pada Majlis Pengumuman Calon BN Parlimen Kuala Selangor pada Rabu.
Tengku Zafrul (empat kanan) bersama kepimpinan BN Kuala Selangor pada Majlis Pengumuman Calon BN Parlimen Kuala Selangor pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang bertanding mewakili BN bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor mendedahkan penyertaan beliau dalam politik bukanlah baharu sebaliknya telah menyertai UMNO sejak berusia 24 tahun lagi.

Tengku Zafrul berkata, beliau yang menyertai parti itu pada tahun 1997 bukanlah pemimpin barisan hadapan tetapi cuba membantu parti itu.

"Saya sendiri pernah bekerja sebagai Pegawai Khas kepada seorang Menteri UMNO yang telah pergi meninggalkan kita," katanya pada Majlis Pengumuman Calon BN Parlimen Kuala Selangor pada Rabu.

Menurut Tengku Zafrul, semasa dilantik sebagai menteri kabinet, beliau tidak pernah terfikir untuk menjawat jawatan itu untuk selamanya.

"Saya fikir saya nak habiskan khidmat saya dan selepas itu, sama ada bersara atau kembali ke dunia korporat.

"Namun tiga tahun sebagai Menteri Kewangan, terutamanya ketika diberi tanggungjawab untuk berhadapan cabaran getir ekonomi akibat Covid-19, ia membuka mata saya tentang pentingnya khidmat bakti politik dan murninya perjuangan UMNO dan BN," jelas beliau.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, apabila diberi peluang beliau menyatakan keterbukaan untuk terus berkhidmat.

Malah jelas beliau, sekiranya pengundi Kuala Selangor memberinya peluang dan memenangi kerusi Parlimen itu, beliau menawarkan diri untuk terus berkhidmat demi rakyat.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul turut menangkis dakwaan pihak luar yang menyatakan BN ingin menang kerana 'gila kuasa'.

"Itu salah dan fitnah kerana kita nak menang sebab kita ada lebih kuasa untuk bantu penduduk di Kuala Selangor.

"Kita semua tahu, walaupun Kuala Selangor ini dekat dengan ibu kota, untung nasib penduduk tidak terbela," kata beliau.

Ujarnya, beberapa permasalahan rakyat di kawasan itu memerlukan tindakan segera antaranya terdapat banyak jalan berlubang, ketiadaan lampu isyarat, sesetengah kawasan mengalami kelemahan liputan internet dan kekurangan infrastruktur terutama tempat rekreasi dan hab belia.

"Selain itu, pengangkutan awam pun masih kurang dan penduduk perlu keluar dari Kuala Selangor untuk cari peluang pekerjaan atau perniagaan," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, beberapa perkara dan permasalahan rakyat perlu diselesaikan segera sekiranya BN menang.

"Kita akan pastikan kita selesaikan masalah mereka,baik masalah jalan raya, pengangkutan awam, kebajikan, pendidikan dan lain-lain lagi.

"Kita akan pastikan kita rapatkan hubungan di antara ahli Parlimen dan rakyat Kuala Selangor selain pastikan peruntukan turun dan ada Pejabat Khidmat Parlimen yang efektif," kata beliau.