UMNO Simpang Renggam 'tak kecewa' pencalonan Hasni

Zakaria Dullah
Zakaria Dullah
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - UMNO bahagian Simpang Renggam menegaskan tidak kecewa sama sekali dengan pencalonan Pengerusi Perhubungan BN Johor, Datuk Hasni Mohammad di kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata, prinsip beliau jelas bahawa kepentingan parti adalah lebih utama berbanding dengan kehendak peribadi.

"Pencalonan Hasni selaku calon Parlimen Simpang Renggam pada PRU15 adalah sangat bertepatan dengan semangat perjuangan yang telah dibina atas asas “Robohan Kota Melaka” pada tahun 2018 yang lalu.

"Kepimpinan UMNO Bahagian Simpang Renggam yakin dengan pengalaman pentadbiran dan pengurusan politik yang ada pada beliau," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, beliau yakin bukan sahaja matlamat untuk meletakkan kembali perjuangan BN dan UMNO pada landasan asal dapat dicapai, malah keberadaan kehendak umum Simpang Renggam di Parlimen Malaysia kelak akan lebih terserlah berbanding sebelumnya.

Katanya, apa jua keputusan yang dibuat oleh pucuk kepimpinan tertinggi parti yang dilihat punya matlamat yang jelas kepada proses pengukuhan dan kestabilan parti, ianya mesti diakuri dan ditaati.

"Hal ini meliputi aspek pemilihan calon bagi menghadapi apa jua bentuk peringkat pilihan raya.

"Sekiranya pucuk kepimpinan tertinggi parti memutuskan bahawa saya adalah calon yang terbaik untuk mewakili bahagian, maka keputusan itu juga saya akan akur dan taat, dan demikianlah sebaliknya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Hasni sah akan bertanding di kerusi Parlimen Simpang Renggam pada PRU15.

Hasni bakal berentap dengan penyandang kerusi tersebut yang juga merupakan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (PKR).

Selain Maszlee, Hasni juga bakal bertemu dengan calon dari PN, Mohd Fazrul Kamat di Simpang Renggam.

Dalam pada itu, Zakaria berkata keputusan pucuk kepimpinan tertinggi untuk menamakan Hasni didokong sepenuhnya oleh kepimpinan Bahagian UMNO Simpang Renggam.

Beliau berkata kepimpinan Bahagian disetiap peringkat dan strata telah bersiap- saga untuk memastikan calon BN untuk Simpang Renggam beroleh kejayaan yang mengujakan.

"Itu janji kepimpinan UMNO Simpang Renggam.