Intipati aku janji tular tidak tepat, fitnah: Ahmad Maslan

Ahmad (dua dari kiri) hadir Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Educity Indoor Arena Iskandar Puteri pada Rabu.
Ahmad (dua dari kiri) hadir Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Educity Indoor Arena Iskandar Puteri pada Rabu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan terdapat isi kandungan aku janji ikrar calon parti itu untuk mencalonkan dan menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri.

Katanya, penyebaran isi kandungan aku janji itu yang kini tular itu tidak tepat dan merupakan fitnah kepada UMNO dan BN.

"Itu tak betul. Tiada langsung perkataan itu. Itu adalah fitnah. Hendak sebut untuk lepaskan dari mahkamah juga adalah fitnah," katanya ketika ditemui selepas pelancaran jentera BN Johor di Educity Indoor Arena pada Rabu.

Sebelum itu tular dokumen dengan kepala surat UMNO memaparkan tandatangan Ahmad Zahid dan Ahmad Maslan.

Aku janji itu antara lain menyatakan ikrar calon UMNO dan BN yang menang pada PRU15 untuk mencalonkan serta menyokong Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Ia turut menyatakan ikrar untuk menyokong sebarang tindakan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN dalam sebarang perancangan dengan parti atau pakatan politik lain, jika UMNO dan BN gagal membentuk kerajaan secara sendiri selepas PRU15.

Ahmad yang juga calon BN di Parlimen Pontian menegaskan aku janji yang ditandatangani calon UMNO dan BN penting sebagai kesetiaan kepada parti.

"Saya hendak sebutkan bahawa semua calon-calon yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor tandatangani aku janji untuk setia kepada parti.

Artikel Berkaitan:

"Untuk PRU15 kali ini, mereka juga tandatangan aku janji, ia bukan satu masalah kerana untuk keutuhan parti sebab kita tidak mahu kejadian lompat parti berlaku.

"Ia terbukti apabila di Sabah tiada ada kejadian lompat parti berlaku kerana ada aku janji yang kita tandatangani," katanya.