PDRM kesan penjual vape ganja

PDRM akan mengambil tindakan tegas secara berterusan untuk membanteras sindiket pengedaran dadah yang menjual ganja dalam bentuk cecair vape.
PDRM akan mengambil tindakan tegas secara berterusan untuk membanteras sindiket pengedaran dadah yang menjual ganja dalam bentuk cecair vape.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mengesan modus operandi baharu sindiket pengedaran dadah yang menjual ganja secara terbuka dalam bentuk cecair perisa rokok elektronik atau vape di sekitar Lembah Klang.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saadudin berkata, pihaknya sedar dan tindakan tegas telah diambil terhadap beberapa sindiket terlibat.

"Dalam kenyataan media pada 15 Oktober melaporkan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dalam bentuk cecair vape.

"Dalam operasi itu PDRM menyita dadah dan harta bernilai RM3.47 juta serta berjaya menahan tujuh suspek di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, sebuah media tempatan melaporkan kegiatan penjualan cecair vape perisa ganja yang berleluasa menerusi platform media sosial.

Menurut laporan berkenaan, cecair perisa ganja itu dijual dengan harga mencecah RM160 bagi satu botol bersaiz 10 milimeter.

Sehubungan itu, Noorsiah berkata, PDRM akan mengambil tindakan tegas secara berterusan untuk membanteras aktiviti berkenaan.

"PDRM serius dalam pembanterasan segala aktiviti melibatkan pengedaran dan penyalahgunaan dadah. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak terlibat," tegas beliau.

Artikel Berkaitan: