Polis tahan tiga lelaki, rampas 10.4kg dadah

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

IPOH - Tiga warga tempatan termasuk seorang warga emas ditahan bersama 10.4 kilogram (kg) dadah dalam satu serbuan di sini pada Isnin.

Kesemua lelaki berusia 40, 58 dan 61 tahun itu ditahan sekitar jam 2.20 petang di kawasan tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Bercham.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki seorang suspek menjumpai sebuah guni.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati terdapat 10 bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki methamphetamine.

"Dadah dengan anggaran berat 10.4 kilogram mempunyai nilai pasaran lebih RM400,000 dan boleh digunakan 20,000 penagih.

"Siasatan awal mendapati, suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang warga asing di Wilayah Utara negara," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mengesahkan suspek berusia 58 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, kesemua suspek akan direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39(B) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut.

"Tindakan pelucutan harta juga diambil terhadap suspek dengan sitaan sebuah kenderaan dan wang tunai RM2,200," katanya.