Warga emas maut kereta terhumban dalam gaung

Keadaan kereta jenis Perodua Myvi yang tercampak dalam gaung di KM40 Jalan Tapah-Cameron Highlands, semalam mengakibatkan seorang maut.
Keadaan kereta jenis Perodua Myvi yang tercampak dalam gaung di KM40 Jalan Tapah-Cameron Highlands, semalam mengakibatkan seorang maut.
A
A
A

TAPAH - Seorang warga emas maut selepas kereta dinaiki bersama lima ahli keluarga lain terhumban dalam gaung sedalam 500 meter di KM40 Jalan Tapah-Cameron Highlands, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian sekitar jam 6.50 petang itu, semua mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Cameron Highlands.

"Tiba di tempat kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung.

"Akibat kejadian itu, penumpang hadapan Awang Kechik Dollah, 75, maut di tempat kejadian setelah tercampak keluar dari kenderaan, manakala pemandu seorang lelaki berusia 32 tahun yang juga menantu mangsa mengalami cedera ringan.

"Empat lagi penumpang kesemuanya wanita termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun terselamat," katanya.

Beliau turut berkata, mangsa yang terperangkap dalam kereta berjaya dikeluarkan anggota bomba.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!