Letshanaa tekad baiki ranking

Letshanaa sasar untuk menyertai lebih banyak kejohanan bagi membaiki kedudukan ranking. Foto Agensi.
Letshanaa sasar untuk menyertai lebih banyak kejohanan bagi membaiki kedudukan ranking. Foto Agensi.
A
A
A

PEMAIN badminton perseorangan wanita, K. Letshanaa menyasarkan untuk menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa bagi meningkatkan ranking dunianya agar dapat bersaing dalam kejohanan peringkat lebih tinggi.

Pemain berusia 19 tahun itu berjaya membaiki ranking kepada kedudukan ke 257 daripada 520 dalam tempoh sebulan selepas beraksi di tiga kejohanan di Australia dan New Zealand.

Dia menyertai kejohanan Sydney International, Bendigo International di Australia dan North Harbour International di New Zealand selepas kembali dengan pingat perak Sukan Malaysia (Sukma) pada September, setelah berehat selama sembilan bulan bagi menjalani pemulihan kecederaan bahagian belakang.

"Memenangi perak Sukma selepas tempoh pemulihan sembilan bulan adalah permulaan yang baik selepas lama tidak berdepan kejohanan. Melalui tiga kejohanan itu, saya dapat melonjakkan ranking dunia daripada 520 kepada bawah 300, manakala permainan lebih baik berbanding prestasi saya dalam Sukma.

"Sasaran utama saya adalah untuk mencapai 10 teratas dalam ranking dunia, bersaing dalam kejohanan Siri Super, Kejohanan Dunia dan Olimpik serta memenangi pingat untuk Malaysia," katanya.

Letshanaa, yang menjadi tumpuan selepas memenangi gelaran juara kebangsaan bawah 18 tahun ketika berusia 14 tahun pada 2017, berhasrat untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Selain pingat perak Sukma 2022, remaja itu juga pernah memenangi kejuaraan Mauritius International 2018.

Dia merupakan sebahagian daripada pasukan Malaysia yang memenangi pingat gangsa berpasukan campuran Piala Sudirman 2021 dan Kejohanan Remaja Asia 2018 masing-masing di Vantaa, Finland dan Jakarta, Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Letshanaa, yang kini berlatih di bawah bimbingan bapanya A. Karupathevan dan abangnya Jhotiswaran sebagai pemain bebas telah mencapai ranking terbaiknya iaitu 185 pada Mac 2019, sebelum tergelincir di bawah 700 semasa pandemik Covid-19.

Letshanaa yang berhenti daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana kecederaan bahagian belakang awal tahun ini, berharap dapat mengumpul kira-kira RM300,000 melalui pembiayaan orang ramai untuk memastikan penyertaannya dalam lebih 10 kejohanan sehingga akhir tahun depan untuk meningkatkan ranking dunianya. - Bernama