PRU15: Jangan rai berlebihan jika tercalon, kata Mukhriz

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

BANGI - Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengingatkan semua calon Gerakan Tanah Air (GTA) supaya tidak terlalu berlebihan meraikan kegembiraan apabila dipilih untuk mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, kemenangan sebenarnya harus diraikan selepas gabungan itu berjaya membentuk kerajaan pada 19 November nanti.

“Saya mohon kepada kita semua bahawa pengumuman ini bukan sesuatu yg kita boleh raikan kerana baru diumumkan jadi calon, jangan (pula) kita (buat) kenduri syukur.

“Tetapi kita kena ingatkan diri kita, hari ini belum masanya untuk kita raikan kerana keputusan sebenar adalah pada 19 November,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PRU15 GTA- Pejuang di Pusat Konvensyen Bangi, di sini pada Rabu.

Tambahnya, semua pihak juga turut diingatkan supaya terbuka menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh gabungan berkenaan.

“Saya harapkan kita semua tenang, sabar dan tawakal apabila nama disebut atau tidak disebut,” katanya.

Pada Oktober lalu, Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan gabungan itu akan memasuki PRU15 menggunakan bendera dan logo Pejuang.

Beliau berkata, ia berikutan Parlimen dibubarkan sebelum sempat permohonan pendaftaran GTA sebagai sebuah parti politik diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

Artikel Berkaitan: