KJ ada karisma untuk kembalikan Sungai Buloh ke tangan BN

Dr Syed Agil Alsagoff
Dr Syed Agil Alsagoff
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mempunyai karisma diperlukan dalam menjayakan misi mengembalikan kerusi Parlimen Sungai Buloh ke pangkuan BN.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff yakin bekas ahli Parlimen Rembau itu mampu menebus kekalahan BN di kerusi tersebut.

"Khairy mempunyai kredibiliti baik sebagai Menteri Kesihatan dan ketika menguruskan pandemik Covid-19, pengalaman sedemikian membolehkan kepemimpinan Khairy diterima masyarakat.

"Dengan pengalaman luas dalam senario politik UMNO juga membolehkan Khairy meneroka ke kawasan Parlimen tidak terhad di Rembau sahaja yang telah dimenanginya beberapa penggal.

"Malah komitmen Khairy sebagai pemimpin rakyat dan anggota kabinet menjadikan beliau matang untuk bertanding di kawasan yang asing baginya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Bagaimanapun Syed Agil berkata, pemilihan Khairy ke Parlimen Sungai Buloh akan mendorong suatu cabaran dari segi persepsi dan penerimaan masyarakat setempat walaupun beliau cemerlang di Rembau.

"Ini kerana kepemimpinan Khairy tidak sama nilai jika dibandingkan dengan kerusi luar yang mahu ditandinginya sebab beliau bukan anak tempatan bagi kawasan Parlimen Sungai Buloh.

"Khairy harus bersedia meneliti keperluan, kehendak dan budaya setempat di kawasan baharu bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, pengundi terutamanya masyarakat India akan merasai peralihan kepimpinan daripada wakil rakyat India kepada Melayu yang dijangka memberi cabaran untuk Khairy meraih sokongan kuat.

Sebagai rekod, Khairy tidak mempertahankan kerusi Rembau yang disandang sejak 2008 selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, bertanding di kerusi berkenaan.

Parlimen Sungai Buloh diwujudkan pada 2018 daripada kerusi Subang dan Kuala Selangor dimenangi R Sivarasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 26,634 undi menewaskan calon Pas dan Prakash Rao Applanaidoo daripada MIC.