Bahasa Melayu boleh jadi bahasa kedua di Asean: Saifuddin

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berucap pada Majlis Makan Malam bagi meraikan para perwakilan Sidang Ke-58 Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia di Wisma Putra malam ini. - Foto Bernama
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berucap pada Majlis Makan Malam bagi meraikan para perwakilan Sidang Ke-58 Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia di Wisma Putra malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Adalah tidak mustahil Bahasa Melayu menjadi bahasa kedua yang digunakan dalam perbincangan isu-isu antarabangsa dalam Asean di samping bahasa Inggeris, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata negara yang menganggotai Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) boleh menjadi penggerak ke arah usaha tersebut.

Mengambil contoh Kesatuan Eropah yang menggunakan 26 bahasa dalam urusan pentadbirannya, Saifuddin berkata penggunaan pelbagai bahasa dalam urusan kesatuan serantau bukanlah perkara luar biasa.

"Jadi kalau Asean tambah satu lagi Bahasa Melayu ia tidak mustahil, jadi negara-negara anggota MABBIM yang boleh menggerakkannya," katanya pada majlis makan malam bagi meraikan para perwakilan Sidang ke-58 MABBIM di Wisma Putra di sini hari ini.

MABBIM ialah sebuah majlis yang ditubuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu/lndonesia di rantau ini yang dianggotai oleh tiga negara iaitu Brunei, Indonesia dan Malaysia.

Menurut Saifuddin, kerajaan Indonesia juga telah membuat pendirian untuk mengusulkan bahasa Melayu Indonesia menjadi satu daripada bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2045.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata resepi keamanan dunia Melayu perlu dipromosi kepada dunia luar dalam usaha menangani terrorisme dan memupuk kesefahaman antara agama.

Beliau berkata keamanan dunia Melayu yang terdiri daripada empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura adalah antara produk hubungan antarabangsa yang boleh memberi impak sangat besar kepada keamanan sejagat.

Artikel Berkaitan:

"Di sini dalam dunia Melayu terkumpul semua agama dan di sinilah tempat yang paling sesuai untuk membidas kenyataan Samuel P. Huntington 'The Clash of Civilisations' yang tidak berlaku di dunia Melayu.

"Di sinilah antara sumbangan dunia Melayu yang orang tidak begitu mengenalinya dan saya fikir kita harus mempromosinya," katanya.

Bertemakan "Bahasa Melayu/Indonesia sebagai Bahasa Utama Dunia", persidangan MABBIM anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu berlangsung di Kuala Lumpur bermula 8 hingga 13 April. -Bernama