Anak-anak perlukan sokongan, bukan kongkongan

Gambar hiasan -Foto:123RF
Gambar hiasan -Foto:123RF
A
A
A

SABAN tahun kita dikejutkan dengan berita-berita gembira mengenai kejayaan anak-anak muda Malaysia yang bukan sahaja mengharumkan nama negara tetapi turut melakar sejarah di peta dunia.

Merak Jalanan antara jutaan rakyat Malaysia yang gembira kerana ini membuktikan anak jati kita pada hari ini mampu melonjakkan diri ke peringkat antarabangsa.

Terbaharu, kejayaan beregu badminton wanita utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah dalam kejohanan terbuka Perancis. Begitu juga kumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor, Selangor yang meraih anugerah menerusi Pameran Perdagangan Antarabangsa, Penciptaan Produk dan Idea Baharu (IENA) 2022 di Nuremberg, Jerman pada Sabtu.

Kejayaan ini sudah cukup membuktikan anak-anak Malaysia hebat-hebat belaka. Namun, Merak Jalanan percaya yang dikecapi mereka ini adalah berkat doa dan sokongan daripada kedua-dua ibu bapa.

Oleh kerana itu, menjadi harapan Merak Jalanan agar ibu bapa di luar sana sentiasa menyokong apa juga bidang atau perkara baik diminati anak-anak. Janganlah mengongkong dan membantah apa yang ingin mereka lakukan kecuali perbuatan yang tidak baik.

Bukan apa, Merak Jalanan pernah berhadapan dengan situasi di mana rakan-rakan terlalu mengharapkan anak mengikut kehendak mereka. Akhirnya, anak tidak ke mana apabila tidak mampu mengikut apa yang ibu bapa mahukan.

Bagi Merak Jalanan, kita berada di dalam era dunia tanpa sempadan jadi pemikiran ibu bapa juga seharusnya selari dengan perkembangan dunia bukannya berada di takuk yang lama.

Ibu bapa perlu menyokong penuh dan hormati pilihan anak-anak tetapi ia mestilah disusuli bersama nasihat agar segala yang diusahakan membawa hasil yang positif.

Artikel Berkaitan:

Kepada ibu bapa di luar sana ingatlah, anak-anak memerlukan nasihat dan bimbingan anda, bukannya kongkongan dan hanya menjadikan mereka ‘pak turut’.