PN tanding 169 kerusi dalam PRU15

PN akan bertanding di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN dalam PRU15.
PN akan bertanding di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN dalam PRU15.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding di 74 kerusi, Pas (64), Gerakan (20) dan kumpulan bersekutu bertanding di 11 kerusi.

Bagi kerusi DUN di Pahang, Perak dan Perlis, Pas akan bertanding di 57 kerusi, Bersatu (41), Gerakan (14) dan kumpulan bersekutu empat kerusi.

"Proses pemilihan calon amat sukar, namun rundingan kerusi antara parti sudah selesai. Tak ada berhentak meja, molek, 'comel lote' dan hormat menghormati.

"Kita memastikan calon-calon yang dipilih terdiri daripada tokoh berkelayakan, mesra rakyat dan prihatin dengan isu rakyat supaya mereka dapat pikul amanah sebaiknya.

"Setiap parti komponen juga sudah membuat persiapan. Jentera kita mesti bersedia, segala peluru sudah disiapkan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pengumuman Calon PN bagi PRU15 bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini pada Selasa.

Muhyiddin turut meminta agar rakyat memberikan gabungan itu mandat, seterusnya meneruskan kerja-kerja yang masih belum selesai.

Artikel Berkaitan:

"Tak lama, bagi kami lima tahun sahaja untuk sambung tugas yang belum selesai. Keadaan masih belum sempurna dan baik.

"Penangan Covid-19 memberikan kesan mendalam kepada rakyat, termasuk kehidupan mereka. Golongan yang menjadi miskin tegar semakin bertambah

"Perjuangan bukan untuk diri kita tapi untuk negara kita. Jangan biarkan negara jatuh ke tangan kleptokrat, perasuah dan kluster mahkamah. Saya minta beri PN peluang memerintah negara," jelasnya.