Lima hari gangguan bekalan air sukarkan kehidupan penduduk

Mas Imran (kanan) membantu penduduk mengambil air percuma yang disediakan pihak Pasar Raya Econsave Permas Jaya, Johor Bahru pada Selasa
Mas Imran (kanan) membantu penduduk mengambil air percuma yang disediakan pihak Pasar Raya Econsave Permas Jaya, Johor Bahru pada Selasa
A
A
A


JOHOR BAHRU - Bekalan air yang terjejas disebabkan saluran paip pecah di Bandar Seri Alam di sini sejak lima hari lalu menjejaskan kehidupan dan urusan seharian penduduk yang terlibat.

Mereka mendakwa, gangguan bekalan air yang berlaku secara tiba-tiba membuatkan mereka tidak sempat membuat sebarang persediaan berdepan masalah berkenaan.

Seorang suri rumah, Norhayati Maarof, 60, berkata, dia dan ahli keluarganya hanya dapat mandi selepas dua hari gangguan tersebut berlaku apabila mendapat bekalan air yang disumbangkan pihak Ranhill SAJ.

"Bekalan air bersih yang disumbangkan Ranhill SAJ dan beberapa pihak lain dapat menampung sebahagian keperluan penduduk. Kami bersyukur atas sumbangan ini kerana setiap titis air amat bermakna bagi kami yang sudah empat hari terjejas.



"Kami berharap bekalan air dapat dipulihkan dengan secepat mungkin," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengambil air percuma di Pasaraya Econsave Bandar Permas Jaya pada Selasa.

Pasar raya berkenaan mengagihkan bekalan air percuma kepada penduduk setempat yang terjejas terutama kawasan berdekatan Permas Jaya.

Kebocoran paip air di Bandar Seri Alam sejak Jumaat menjejaskan sehingga 300,000 penduduk dan antara kawasan yang masih terjejas Taman Molek, Taman Johor Jaya, Taman Megah Ria, Taman Rinting, Taman Kota Puteri dan Bandar Seri Alam.

Norhayati bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak menghantar air bersih untuk kegunaan penduduk pada masa yang amat memerlukan itu.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Siew, 47, berkata, bantuan air itu dapat meneruskan urusan harian penduduk untuk sementara tetapi perlu berjimat cermat.
Artikel Berkaitan:


Salah seorang penduduk mengambil air percuma yang disediakan pihak Pasar Raya Econsave Permas Jaya, Johor Bahru pada Selasa
Salah seorang penduduk mengambil air percuma yang disediakan pihak Pasar Raya Econsave Permas Jaya, Johor Bahru pada Selasa



Dia tidak dapat membayangkan kehidupan mereka sekiranya bantuan air tidak diberikan yang bukan sahaja melibatkan rumah penduduk tetapi juga masjid, tokong dan sekolah.

Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata, pihaknya menyalurkan bekalan air percuma mulai pagi Selasa bagi memudahkan penduduk yang terpaksa beratur lama dan menunggu beberapa jam bagi mendapat bekalan air yang dihantar lori tangki di kediaman mereka.

"Ini merupakan inisiatif pihak kami membantu mereka bagi mendapatkan air bersih. Setakat ini, puluhan penduduk yang terjejas mendapatkan bekalan air dan kebanyakan mereka menyatakan terpaksa mencatu air yang dibekalkan bagi kegunaan isi rumah.

"Sekurang-kurangnya bekalan air percuma yang disalurkan kami dapat digunakan bagi tujuan memasak dan pembersihan. Kami akan menyalurkan sumbangan air percuma sehingga bekalan air pulih," ujar beliau.